Peningkatan mendadak kehadiran logam berat dalam air bawah tanah di sekitar loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang, bukan berasal dari pusat kemudahan itu, kata Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc).
Timbalan Ketua Setiausaha Mestecc Nagulendran Kangayatkarasu berkata pemantauan Lynas dan kerajaan terhadap pencemaran dalam air bawah tanah itu menunjukkan bahawa ia kini di tahap yang dibenarkan.
Beliau berkata lonjakan yang dicatatkan dalam laporan jawatankuasa kajian kabinet itu hanya berlaku sekali sahaja, dan kementerian itu bersedia untuk mendedahkan data-data bagi membuktikan bahawa tidak berlaku lagi sebarang pencemaran.
Beliau berkata walaupun punca peningkatan mendadak kehadiran logam berat tempoh hari masih belum diketahui, pemantauan berterusan menunjukkan Lynas bukan penyumbangnya.
"Kami boleh berkata ia bukan berasal dari Lynas," katanya di Bangi hari ini.
