Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM gesa k'jaan rangka undang-undang pastikan pekerja ladang miliki rumah

Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menggesa kerajaan merangka satu undang-undang atau dasar yang dapat memastikan pekerja ladang dapat memiliki kediaman.

Dalam sidang media hari ini, Setiausaha Agung PSM A Sivarajan berkata ia boleh dibuat melalui perundangan baru oleh kerajaan persekutuan untuk memastikan pemilik ladang membina rumah untuk pekerja, atau menyerahkan tanah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk berbuat demikian.

Katanya, perkara sama boleh dibuat kerajaan negeri dengan menggubal enakmen untuk berbuat demikian.

Akta Pengambilan Tanah 1960 juga boleh digunakan jika pemilik ladang tidak berbuat demikian, katanya lagi.

Beliau membangkitkan nasib 54 bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung (LBB) yang masih tiada kediaman sendiri.

"Selama lebih 30 tahun ini semua ini hanya kosong. Apa yang terjadi kepada pekerja estet di Bukit Beruntung yang sedang menanti rumah mereka sendiri sejak sekian lama terus menjadi tanda tanya," katanya hari ini.

Sivarajan mendakwa kerajaan enggan menggunakan undang-undang dalam soal perumahan pekerja ladang.

Protes bekas pekerja LBB pada April 2018 

"Sejak tahun 1990 pelbagai kenyataan dikeluarkan menteri kerajaan pusat, menteri besar dan Exco. Tetapi sehingga kini pekerja estet masih tidak dapat apa-apa.

"Dalam isu perumahan, pekerja ladang merasakan seolah-olah ditipu dengan pelbagai janji kenyataan akhbar dan sehingga kini.

"Apabila wakil pekerja ladang berjumpa dengan kementerian dan kerajaan negeri, mereka mendapati memang tiada apa-apa perundangan, enakmen atau perkara yang jelas bagi menjamin perumahan pekerja ladang," dakwanya.

Beliau berkata pada 1973, perdana menteri ketika itu Tun Abdul Razak mengemukakan Skim Perumahan Sendiri Pekerja Ladang.

Berita itu, katanya, menggembirakan pekerja ladang yang merasakan akan ada undang-undang yang membolehkan mereka mendapat rumah kediaman.

"Tetapi apa jadi dengan skim itu? Kerajaan pada masa itu hanya mengambil pendekatan bukan penguatkuasaan dan undang-undang tetapi bergantung kepada pemilik ladang. Jika pemilik ladang tak sediakan (perumahan) kita tak boleh buat apa-apa," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS