Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Busana pro LGBT: Fathul Bari persoal gedung fesyen H&M
Diterbitkan:  Jun 1, 2019 3:21 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Fathul Bari Mat Jahya mempersoalkan hubungan antara jenama fesyen H&M di United Kingdom dan gedungnya di Malaysia dalam kaitan dengan kempen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pemimpin Umno itu membuat hantaran di Twitter mengulas satu lagi ciapan yang menggesa boikot terhadap jenama itu kerana koleksi pakaian "Love for all" memaparkan rangkaian rekaan berilhamkan pelangi dan pesanan mempromosikan cinta.

"Adakah H&M Malaysia turut terlibat dalam kempen LGBT seperti yang tertera di instagram H&M induk United Nation Free Equal iG? 

"Iaitu hasil jualan 10 peratus akan diberikan kepada gerakan UN Free Equal untuk mendokong perjuangan LGBT?" soal Fathul Bari.

Malaysiakini sedang menghubungi H&M Malaysia bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.

Ciapan Fathul Bari di Twitter itu mendapat maklum balas dengan ada yang mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mengulas tuntuan boikot berkenaan, manakala ada juga yang mempertikaikan kenapa hanya H&M saja yang menjadi sasaran sedangkan jenama lain juga banyak yang menyokong agenda LGBT.

Pengkritik Fathul Bari di Twitter juga berkata 10 peratus hasil jualan yang akan disumbangkan itu cuma untuk koleksi pakaian "Love for all" dan bukan pakaian lain jenama itu.

Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Global H&M Sara Spännar dalam satu kenyataan berkata koleksi pakaian itu boleh didapati di gedung terpilih di seluruh dunia sepanjang bulan ini dan 10 peratus daripada hasil jualan akan didermakan untuk kempen PBB yang memperjuangkan hak dan layanan saksama dan adil terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks di seluruh dunia.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) melancarkan kempen global UN Free & Equal pada Julai 2014 untuk mempromosikan kesedaran mengenai hak dan perlakuan adil bagi orang LGBTI.

 

Lihat Komen
ADS