Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Pelantikan peneraju TM perlu arahan PM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pelantikan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd (TM) hanya boleh dibuat selepas mendapat arahan langsung daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Setakat ini, masih lagi orang sama (yang memegang jawatan berkenaan). Kalau ada perubahan, perlu ada arahan atau surat daripada perdana menteri.

"Perkara lain sila rujuk kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia (Gobind Singh).

"Saya terima arahan daripada perdana menteri dan bukan daripada sumber kedua atau ketiga," katanya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Semalam, The Edge Financial Daily melaporkan bahawa pengerusi TM Rosli Man enggan melantik Imri Mokhtar sebagai CEO. Imri kini menjalankan tugas-tugas CEO sebagai pemangku.

Laporan itu mendakwa Rosli berkeras meskipun nama Imri disarankan oleh lembaga pengarah TM dan mendapat sokongan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan serta perdana menteri.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, TM mengesahkan bahawa nama Imri disarankan oleh lembaga pengarah dan mendapat sokongan Menteri Kewangan Diperbadankan, namun, jelas TM, Pejabat Perdana Menteri mengarahkan pelantikan bagi jawatan itu ditangguhkan.

"Pengerusi memaklumkan lembaga pengarah pada awal Mac 2019 bahawa dia dapat permohonan daripada PMO untuk tangguh pelantikan.

"Kami percaya adalah langkah baik dalam pentadbiran korporat untuk berhubung dengan pemegang taruh termasuk Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Bekas CEO TM, Shazalli Ramly, yang juga merupakan bekas penasihat media Najib Razak, meletak jawatan Jun tahun lalu.

Sejak itu, TM tidak mempunyai CEO tetap. Imri dilantik sebagai pemangku CEO pada Nov lalu menggantikan Bazlan Osman yang juga meletakkan jawatan.

Rosli memegang jawatan pengerusi sejak Disember lalu selepas Sulaiman Mahbob meletakkan jawatan.

Ketika di bawah teraju Sulaiman, lembaga pengarah TM mencadangkan Imri dilantik sebagai CEO. Namun, menurut The Edge, Rosli kemungkinan merancang untuk mencadangkan nama lain untuk jawatan itu.

Lihat Komen
ADS