Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tangan tersembunyi cuba gagalkan RCI siasat salah laku kehakiman
Diterbitkan:  Jun 3, 2019 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Terdapat pihak-pihak dalam Pakatan Harapan dan beberapa bekas hakim kanan menentang pembentukan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji salah laku dalam bidang kehakiman, kata sumber yang rapat dengan perkara itu.

"Individu-individu ini, terutama bekas hakim, bimbang RCI akan mendedahkan perkara-perkara yang tidak memihak kepada mereka.

"Dengan kata lain, mereka akan terdedah," kata seorang sumber peringkat tinggi.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan terma rujukan RCI kepada kabinet.

Bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, sumber itu memberi bayangan pihak-pihak itu mungkin juga campur tangan dalam saman pemula yang difailkan oleh bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee yang mempersoalkan kesahihan penubuhan RCI.

Walau bagaimanapun, sumber itu enggan menamakan mereka yang menentang RCI.

Cabaran undang-undang itu telah menyaksikan penubuhan RCI tertangguh dan penubuhannya mungkin terpaksa dibatalkan.

Semalam, menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggungjawap terhadap portfolio undang-undang, Liew Vui Keong berkata kerajaan akan menunggu sehingga 2 Julai untuk membuat keputusan mengenai saman pemula itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata siasatan polis dan SPRM ke atas dakwaan salah laku kehakiman masih boleh diteruskan.

Yong, yang memfailkan saman pemula pada 29 April, menamakan kerajaan persekutuan sebagai responden.

Hujah presiden SAPP itu, penubuhan RCI adalah ibarat campur tangan eksekutif.

Yong seterusnya menegaskan bahawa sebarang salah laku dalam badan kehakiman hanya boleh ditangani melalui tribunal.

Pada bulan Februari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menubuhkan RCI berikutan pendedahan menggemparkan daripada Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam sebuah afidavit.

Dalam afidavit itu, Hamid, yang mendakwa salah laku dalam bidang kehakiman, melahirkan rasa kesal bahawa ketua hakim ketika itu Richard Malanjum tidak menubuhkan RCI.

Susulan peersetujuan Mahathir, terdapat perdebatan mengenai skop bidang kuasa RCI.

Pada tahun 2008, kerajaan yang ketika itu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, telah menubuhkan sebuah RCI apabila  peguam VK Lingam terheret dalam video yang memaparkan perbualan telefonnya dengan ketua hakim Malaya Ahmad Fairuz Sheikh Halim pada tahun 2001 berhubung pelantikan hakim-hakim.

Panel lima anggota RCI kemudian mencadangkan supaya tindakan diambil terhadap Lingam, bekas ketua hakim Eusoff Chin dan empat yang lain, termasuk Mahathir.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada tindakan telah diambil terhadap semua mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS