Hampir semua pemohon visa Amerika Syarikat (AS) perlu mengemukakan maklumat mengenai akaun media sosial yang digunakan sejak lima tahun lalu, lapor agensi berita Anadolu.
Ia termasuk nama pengguna atau pemegang akaun individu yang digunakan pada platform, termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.
Buat masa ini, senarai laman web media sosial terhad kepada yang utama, tetapi selepas ini ia akan diperluaskan untuk memasukkan laman web yang kurang dikenali.
Bagaimanapun, peraturan itu dikecualikan untuk permohonan visa diplomatik dan rasmi tertentu.
Seorang pegawai enggan dikenali berkata, pemohon yang didapati menipu mengenai akaun media sosial mereka akan dikenakan"tindakan serius."
"Ia merupakan langkah penting untuk mengawasi warga asing yang semakin ramai masuk ke AS," kata pegawai itu.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di seluruh dunia kegiatan media sosial dilihat telah menjadi forum utama untuk menyebarkan sentimen dan kegiatan pengganas.
“Langkah itu penting untuk mengekang aktiviti pengganas, ancaman keselamatan awam dan individu berbahaya lain daripada mendapatkan faedah imigresen AS."
Dasar baharu itu adalah sebahagian daripada perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang diumumkan pada Mac 2017.
Seterusnya pada Mac 2018, Jabatan Negara mengumumkan ia akan melaksanakan peraturan media sosial selaras dengan arahan itu.
- Bernama
