Paling Popular
Terkini

Kerana ketum, dua lelaki adik-beradik kini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cuba merasuah seorang pegawai polis sebanyak RM10,000 pada Isnin lalu.

Selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, Wan Mohd Faizal Wan Marzuki, 31, dan Wan Mohd Fikri, 32, mengaku tidak bersalah.

Tuduhan berkenaan dibacakan di depan hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, asal masalah itu bermula apabila Wan Mohd Faizal ditahan kerana memiliki 787kg daun ketum di Kampung Kedondong, Pasir Mas, kira-kira jam 10 malam pada 27 Mei lalu.

Untuk cuba melepaskan diri, si abang - Wan Mohd Fikri - didakwa menyediakan wang sebanyak RM10,000 untuk diberikan kepada Insp Rozaimi Bakhtiar yang juga pegawai kanan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am di Kubang Badak, Terengganu.

Wang tersebut adalah cubaan merasuah dan sebagai dorongan kepada Rozaimi agar tidak meneruskan tindakan ke atas Wan Mohd Faizal.

Wan Mohd Faizal menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Wan Mohd Fikri pula didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser Amri, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang sementara menunggu tarikh sebutan semula kes tersebut pada 2 Julai ini.

Mereka juga diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Difahamkan kedua-dua mereka sudah diikat jamin.

Lihat Komen
ADS