Paling Popular
Terkini

Komuniti perniagaan Melayu dan Cina berbeza pandangan berkaitan dakwaan terdapat diskriminasi dalam alam pekerjaan terhadap pekerja tidak berbahasa Mandarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman berkata hakikatnya diskriminasi berkenaan semenangnya wujud dan banyak kajian mengenainya sudah dijalankan.

"Isu ini sudah dibangkitkan sejak empat lima tahun dulu lagi, dan ia sememangnya terjadi (diskriminasi).

"Bukan saja alasan kerana orang Melayu tidak mampu menguasai bahasa Mandarin, malah ada syarikat yang sememangnya hanya mahu mengambil pekerja dalam kalangan masyarakat Cina.

"Ada juga bumiputera yang bekerja di syarikat swasta berdepan diskriminasi untuk kenaikan pangkat dan gaji," katanya kepada Malaysiakini.

Yazid Othman 

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 16 Mei lalu berkata keadilan bukan hanya dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Bercakap kepada penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) ketika sesi soal jawab, beliau memberikan contoh keperluan untuk berbahasa Mandarin sebagai kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu, Naib Presiden 1 Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Sohaimi Shahadan pula berkata diskriminasi itu sudah menjadi isu yang tiada kesudahan.

"Saya kira sudah banyak kajian dilakukan dan dapatan kajian dikemukakan berdasarkan fakta, kami juga banyak menerima aduan daripada graduan berhubung kesukaran itu.

"Sudah tiba masanya untuk semua pihak berkepenting duduk semeja, mencari jalan peyelesaian yang tuntas demi kebaikan semua pihak," katanya yang juga bekas pemimpin pusat Umno.

Rendah dalam syarikat pelancongan

Sementara itu, Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) berkata anggotanya tidak akan menolak permohonan pemohon yang tidak berbahasa Mandarin.

MCCC dianggotai kumpulan perniagaan yang menaungi hampir 2,000 syarikat industri kecil dan sederhana.

“Kami lihat pada kemahiran mereka,” kata Bendahari MCCC Thay Peng Hong.

Thay, yang terlibat dalam syarikat pembinaan, berkata, prasyarat bahasa Inggeris dan Mandarin hanya ditetapkan pada kerja yang memerlukan keperluan khas dalam bahasa itu.

Syarikatnya sendiri, kata Thay, menggajikan tiga penyelia Melayu dan seorang pekerja yang berbahasa Mandarin untuk projeknya dengan syarikat berpangkalan di China.

Thay Peng Hong

“Kami tak perlukan pekerja berbahasa Mandarin kerana rakan (perniagaan) kami boleh berbahasa Inggeris dengan fasih,” katanya sambil menambah 60 peratus pekerjanya terdiri daripada golongan bumiputera.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Albert Tan pula berkata sektor pelancongan memerlukan bakat yang menguasai pelbagai bahasa.

Beliau mengakui penyertaan orang Melayu masih rendah dalam syarikat-syarikat pelancongan - antara 10 hingga 30 peratus.

Bagaimanapun, katanya, ini disebabkan orang Melayu lebih suka bekerja dengan majikan bangsa itu.

PPCM mempunyai 800 anggota di seluruh negara.

Mac lalu Pusat Kajian Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS), yang mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno, berkata kajian mereka mendapati peluang orang Melayu dan Indian untuk mendapatkan kerja di sektor swasta lebih rendah.

Badan itu mendakwa terdapat syarikat menggunakan kelayakan bahasa Mandarin untuk menapis calon-calon pekerja mereka.

Pandangan ini bagaimanapun ditolak oleh Institut Kajian Asia Tenggara dan ahli ekonomi terkenal Muhammad Abdul Khalid yang menjalankan kajian sama.

Kajian Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) terhadap syarikat anggota-angotanya yang didedahkan pada 29 Mei lalu pula mendapati sebanyak 82 peratus daripada 368 responden tidak meletakkan syarat penguasaan bahasa Mandarin.

Kerajaan bercadang meminda Akta Pekerjaan 1955 yang mahu melindungi pekerja daripada pelbagai diskriminasi termasuk kaum, agama, gender, keupayaan dan bahasa.

Lihat Komen
ADS