Jangan memotong barisan, gunakan lampu isyarat dan sentiasa patuhi undang-undang jalan raya - itu antara nasihat Mufti Wilayah Persekutuan buat pengguna jalan raya sempena musim perayaan ini.
Menurut Dr Zulkifli Mohamad bagi orang ramai yang menggunakan jalan raya, wajib untuk mereka mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya di Malaysia pelbagai pihak diberi tanggungjawab merangka peraturan bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia yang berada di jalan raya.
Antaranya, kata Zulkifli, ialah Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Justeru, penguatkasaan berkaitan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bertujuan untuk memberikan kemaslahatan kepada seluruh pengguna jalan raya.
"Dengan itu, kami menyatakan bahawa hukum mematuhi peraturan lalu-lintas dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah wajib," katanya dalam satu kenyataan.
Umat Islam di negara ini dijangka meraikan Aidilfitri pada Rabu ini. Menjelang perayaan tersebut jalan raya mula sesak dengan pelbagai jenis kenderaan sejak kelmarin lagi apabila sebahagian besar penghuni kota pulang ke kampung masing-masing.
Elak susahkan orang lain
Lazimnya kadar kemalangan jalan raya juga akan meningkat seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya.
Zulkifli berkata kewajiban mematuhi peraturan jalan raya itu terpakai selagi ia tidak bercanggah dengan kehendak al-Quran dan sunnah.
Katanya pemanduan secara melulu juga dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan bahaya termasuk kepada pengendali kenderaan itu sendiri.
Antara cara pemanduan yang ditegur beliau ialah memotong barisan yang sebenarnya boleh membawa seseorang itu merampas hak orang lain.
"Ketika kesesakan lalu-lintas berlaku, semua kereta beratur untuk menuju ke destinasi tertentu mengikut aturan dan susunan siapa yang tiba terlebih dahulu akan berada di hadapan.

"Perbuatan memotong barisan menyebabkan seseorang itu mengambil hak orang lain yang telah tiba di situ terlebih dahulu dan sudah menunggu lebih lama daripadanya," katanya.
Mufti itu turut menegur sikap sesetengah pemandu di negara ini yang kurang sabar - terutama ketika menghadapi kesesakan - dengan memandu di lorong kecemasan.
Kata Zulkifli, tindakan memandu di lorong kecemasan timbul daripada sikap mementingkan diri sendiri sendiri dan tergopoh-gapah.
"Sikap mementingkan diri sendiri dan tergopah-gapah ini merupakan sikap negatif yang patut dihindarkan, kerana ia merupakan amalan syaitan berdasarkan hadis Rasulullah SAW.
"Justeru, kami berpendapat bahawa hukum memandu di lorong kecemasan tanpa keperluan boleh membawa kepada haram kerana ia boleh menimbulkan kemudaratan terhadap diri sendiri dan orang lain," katanya.

Mengenai kepentingan menggunakan lampu isyarat semasa membelok atau menukar lorong, Zulkifli memberikan penjelasan dengan memetik ayat ke-195 Surah al-Baqarah.
"Di dalam itu jelas menunjukkan larangan untuk berbuat sesuatu yang berbahaya kepada diri sendiri.
"Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat menegaskan pentingnya penjagaan diri seiring dengan maqasid al-syariah yang mengangkat kewajiban untuk menjaga akal dan diri manusia itu sendiri.
"Ayat tersebut juga menekankan pentingnya untuk berlaku ihsan, belas kasihan atau melakukan sesuatu dengan cermat dalam segala aspek kehidupan," katanya.
Untuk rekod, selain kemalangan, tindakan memotong barisan dan pemanduan di lorong kecemasan menjadi salah satu penyumbang kepada bertambah teruknya kesesakan lalu-lintas.
Sehingga semalam, sebanyak 90 kematian dicatatkan sepanjang Ops Selamat 15/2019 di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri yang dilancarkan sejak 29 Mei lalu.
