Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Memasuki tahun ketiga berturut-turut diberi tanggungjawab menjadi imam tarawah di Kelantan, Syeikh Abdul Rahman Abdul Latif Al-Mahmud mempunyai permintaan khusus kepada kerajaan Arab Saudi yang menghantarnya ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Dia berharap Riyadh terus memberi kepercayaan untuk berkhidmat di Kelantan pada tahun-tahun mendatang.

Berkongsi pengalamannya sepanjang bertugas di Kelantan, Abdul Rahman berkata, dia semakin 'jatuh hati' kepada negeri itu dan menganggap ia negeri yang mempunyai keberkatan.

"Saya amat suka kepada penduduk Kelantan, suka kepada masjid-masjidnya. Negeri ini negeri ini yang baik dan penuh berkat.

"Macam saya selalu katakan kepada sesiapapun, Kelantan khususnya - dan Malaysia amnya - adalah contoh negeri baldatun tayyibah wa rabbun ghafur, negeri yang makmur dan mendapat pengampunan Allah," katanya.

Kata Abdul Rahman, pada tahun ini dia memohon kepada kerajaannya secara khusus agar ditempatkan di Kelantan.

Sama seperti tahun-tahun terdahulu, Abdul Rahman berkata sepanjang Ramadan kali ini, dia menjelajah ke masjid berbeza setiap hari untuk menjadi imam tarawih.

Belajar bahasa Melayu mudah

Tidak terkecuali, lokasi yang menjadi persinggahan Abdul Rahman ialah masjid di kawasan pedalaman iaitu Jeli dan Gua Musang.

Abdul Rahman berkata demikian selepas bertemu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, semalam.

Katanya, tahun ini juga dia berpeluang mengalami kenangan manis apabila dua penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman itu diislamkan.

Selain itu, dia yang berasal dari Riyadh sedang mengusahakan pembinaan sebuah surau di Kelantan hasil sumbangan dana yang dikumpul keluarganya di Arab Saudi.

"Alhamdulillah dengan bantuan keluarga, khususnya ibu saudara saya membina sebuah surau dengan kos RM70,000 di Kampung Pulau Belanga (Kota Bharu)," katanya.

Abdul Rahman berkata, dia semakin serasi dengan suasana dan kebudayaan Kelantan sehingga disapa dengan gelaran Al-Kalantani oleh kenalan apabila pulang ke negaranya.

Selain itu tambahnya, dalam soal menikmati makanan tempatan juga tidak menjadi masalah untuknya menyesuaikan diri walaupun lidahnya berselera Timur Tengah.

Melalui pengalaman bertahun-tahun, kata Abdul Rahman, kini dia menjadi penggemar kuih akok dan tomyam.

"Saya suka (makan) tomyam, lauk ikan, akok, nasi kerabu. Jadi saya boleh ingat beberapa perkataan mudah Melayu seperti akok, keluar dan tandas," katanya.

Sementara itu Mohd Amar berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada Arab Saudi atas sumbangan mereka membawa seorang imam untuk mengimarahkan Ramadan di negeri itu.

Katanya, khidmat imam dari Arab Saudi itu bermula sejak tujuh tahun lalu dengan tanggungan penuh daripada kerajaan terbabit.

Lihat Komen
ADS