Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Latheefa patut ikut jejak speaker Dewan Rakyat - Fahmi

Ketua pesuruhjaya SPRM yang baru dilantik, Latheefa Koya patut mencontohi tauadan yang ditunjukkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan beliau sepatutnya keluar dari partinya untuk mengelakkan berlakunya konflik kepentingan, kata MP PKR Fahmi Fadzil.

"Ini bagi mengelakkan sama ada konflik kepentingan atau pandangan beliau bersikap berat sebelah, saya yakin cukup penting buat Latheefa menjarakkan dirinya atau tidak menjadi anggota mana-mana parti politik.

"Saya percaya dalam kes ini, sebagaimana contoh (yang ditunjukkan) speaker Dewan Rakyat, saya fikir KP SPRM juga perlu tidak berpihak dan tidak menjadi sebahagian daripada mana-mana parti, ini pandangan peribadi saya," kata Fahmi yang juga anggota parlimen Lembah Pantai kepada Malaysiakini hari ini.

Latheefa ialah anggota PKR dan sebelum ini merupakan ketua biro undang-undang PKR. Pelantikannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM menggantikan Mohd Shukri Abdull diumumkan awal hari ini.

Sebelum ini, Mohamad Ariff merupakan anggota Majlis Penasihat Pakar Amanah serta pengerusi lembaga disiplin dan tata tertib

Fahmi berkata terpulang kepada Latheefa untuk keluar dari parti atau tidak, tetapi amat penting untuk orang ramai meyakini beliau benar-benar bebas daripada mana-mana pihak.

"Saya fikir rakyat Malaysia akan melihat pelantikan ini dengan positif selagi kami menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak mewakili mana-mana pihak dalam menjalankan tugasnya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru," katanya.

Bagaimanapun, Fahmi berkata pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM sebagai bersejarah kerana buat pertama kalinya seorang wanita mengetuai suruhanjaya pencegahan rasuah itu.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin pula menganggap pelantikan Latheeha menandakan pemerkasaan terhadap golongan wanita Malaysia.

Walaupun mengakui, Latheefa tiada latar belakang dalam penguatkuasaan, katanya beliau mempunyai "rekod dinamik" sebagai seorang peguam dan aktivis.

"Dari segi integriti dan kewibawaan, saya fikir beliau memiliki ciri-ciri tersebut dan menilai pengalaman beliau melawan rasuah ketika pentadbiran rejim terdahulu, ia akan menjadi faktor yang kuat kenapa beliau dilantik mengetuai SPRM," katanya lagi.

Ketika ditanya sekiranya terdapat konflik kepentingan untuk seseorang yang terlibat secara politik dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, Shamsul berkata Latheefa tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam PKR.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Anggota Parlimen Sungai Petani dari PKR, Johari Abdul berkata beliau enggan mengulas tetapi mengucapkan tahniah kepada Latheefa atas pelantikannya.

Dilaporkan hari ini Shukri telah meletak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM sebelum tamat tempoh kontrak pada 17 Mei 2020.

Latheefa, yang merupakan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, memegang jawatan itu berdasarkan kontrak dua tahun berkuat kuasa pada 1 Jun, 2019.

Shukri mula dilantik sebagai ketua suruhanjaya SPRM pada Mei tahun lepas, selepas PH memenangi PRU14.

Dalam suatu kenyataan kemudian, Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Latheefa berkata ia langkah positif dalam memperkasakan wanita terlibat dalam proses pembuatan keputusan di Malaysia.

"Dengan mempunyai latar belakang profesional yang mengagumkan, Latheefa Koya merupakan seorang peguam dan aktivis merupakan pilihan terbaik kerajaan Malaysia dalam usaha mereformasikan tadbir urus ke arah yang lebih telus dan berintegriti.

"Sebagai seorang peguam yang berpengalaman, beliau telah mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi dan juga yang membabitkan kepentingan awam," katanya yang juga naib presiden PKR.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS