Pelantikan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai anggota senat universiti sewajarnya dimanfaatkan oleh mereka untuk menyuarakan pandangan dan kritikan membina, bukannya menjadi ahli senyap.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof Dr R Badlishah Ahmad, berkata sekiranya wakil-wakil pelajar terbabit memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, keputusan yang diambil senat akan menjadi telus dan berpaksikan keadilan.
“Dengan kehadiran MPP sebagai anggota senat saya yakin pelbagai isu dapat ditangani memandangkan ia merupakan platform terbaik untuk mereka memberikan pandangan dan pendapat.
“Oleh itu wakil pelajar harus berani dan berupaya berhujah memberikan pandangan dalam senat bagi menghasilkan keputusan yang terbaik untuk universiti.
“Pada masa sama, saya yakin pelantikan itu dapat mewujudkan situasi 'menang - menang' di antara ahli akademik dan pelajar," katanya.
Menurut R Badlishah untuk memahami keadaan semasa, pihak yang berkenaan perlulah meletakkan diri mereka dalam situasi dialami seseorang itu terlebih dulu.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Unimap di Kangar hari ini.
Terlibat gubal dasar
Antara yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut ialah pelantikan dua wakil MPP sebagai anggota senat.
Keputusan tersebut sekaligus menjadikan Unimap universiti kedua berbuat demikian selepas Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
Dua wakil MPP yang dilantik Unimap ialah yang dipertuanya, Muhammad Amir Harith Abdul Jalil, dan timbalan yang dipertua, Nazifa Nordin.
Mereka dilantik untuk tempoh setahun.
R Badlishah berkata, keputusan tersebut antara lain dibuat sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berdasarkan teras enam iaitu Kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi.
Ujarnya, inisiatif teras enam itu menumpukan tujuh aspek utama iaitu Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti, pilihan raya kampus, kesatuan pelajar, hari akademia, medan intelektual terbuka, geran penyelidikan dan suara mahasiswa.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, pelajar merupakan pemegang taruh terbesar dan penting untuk pengurusan universiti memberi peluang untuk mereka terlibat dalam menggubal dasar khususnya bagi melindungi kebebasan akademik dan kecemerlangan profesional.
“Selain itu, pelantikan ini juga dapat memberikan pendedahan yang lebih terperinci dan mendalam terhadap dasar dan kaedah pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan, penyelidikan, biasiswa dan latihan yang dijalankan di universiti dan pada masa sama memberi pemahaman dan kesedaran kepada mahasiswa sebagai pemangkin masa depan negara,” katanya.
