Gema takbir pada pagi Syawal kedengaran sayu buat petugas-petugas pelantar minyak apabila mereka perlu melenyapkan seketika gambaran kemeriahan raya bersama keluarga demi melaksanakan tugas yang membawa mereka beratus batuan jauh di tengah lautan.
Mohamad Shahril Majid Allapitchai, 29, bertugas sebagai Night Drilling Supervisor, Petronas Cari Gali selama lima tahun dan telah banyak melalui pelbagai kenangan pahit manis sepanjang bertugas di lautan termasuklah ketika Aidilfitri.
“Sepanjang saya bertugas sebagai Night Drilling Supervisor ini sudah tiga tahun saya terpaksa beraya di tengah lautan jauh daripada keluarga…selalunya kalau saya offshore tu akan ambil masa selama 28 hari dan kalau lebih lama mungkin akan mencapai maksimum selama 35 hari,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Tugasnya yang berat dan memerlukan fokus yang tinggi sepanjang proses cari gali minyak di pelantar membuatkan beliau perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran di lautan meskipun berkelana pada Aidilfitri.
“Bila sudah tahu akan bertugas hingga raya jadi kami sudah siap mental dan fizikal...sebab kami di pelantar bekerja 24 jam tanpa henti dan bila tamat syif kami hanya akan gunakan masa itu untuk rehat, makan dan cuba hubungi keluarga...itu sahaja yang kami mampu,” katanya lagi.
Ketika hari raya, kebiasaannya petugas-petugas di pelantar yang beragama Islam akan mendapat pelepasan beberapa jam bagi meraikan Aidilfitri bersama-sama serta menunaikan solat sunat hari raya.
Pada pagi raya, para petugas di pelantar akan bersepakat untuk melantik seorang daripada mereka sebagai imam solat sunat hari raya serta membacakan khutbah raya.
Meskipun pilu terkenangkan keluarga yang jauh, Mohamad Shahril menyifatkan suasana di pelantar pada pagi raya itu meriah dengan melihat petugas-petugas lain sudah memakai pakaian raya yang dibawa awal sebelum berangkat ke pelantar lagi.
“Hari raya di pelantar bagi saya suasananya masih ceria sebab kami dapat solat raya dan makan beramai-ramai...cuma pastinya akan merasa pilu bila terkenangkan keluarga yang jauh dan susah untuk hubungi mereka,” katanya.
Katanya juadah hari raya yang disediakan bergantung kepada kemahiran tukang masak di pelantar dan jika mereka bernasib baik dapatlah menjamah juadah seperti rendang, ketupat serta lemang bersama-sama para petugas yang lain.
Selain itu, jika jarak lokasi pelantar yang terletak tidak jauh dari daratan mereka juga boleh membuat pesanan untuk penghantaran sebarang jenis juadah makanan untuk dibawa ke pelantar antaranya sate serta makanan lain untuk aktiviti barbeku di pelantar.
Pengurus Operasi Sribima Group, Rahmat Seruji berkata pihaknya selaku pengendali makanan akan bertanggungjawab membawa bekalan makanan kepada para petugas di pelantar berdasarkan permintaan daripada pihak pengurusan pelantar sendiri.
“Kebiasaannya kalau menjelang hari raya kami akan sediakan bekalan bahan mentah untuk penyediaan juadah seawal seminggu sebelum hari raya…dan ia juga bergantung kepada jarak pelantar tersebut dari darat.
“Jika jarak pelantar dekat dengan darat kami akan bertanggungjawab membawa bekalan makanan berdasarkan permintaan mereka itu tetapi jika jarak pelantar jauh kami akan sediakan bekalan bahan mentah seminggu lebih awal,” katanya.
Bagi penghantaran ke lokasi pelantar yang mengambil masa tidak lebih 30 minit dari darat akan menggunakan bot penghantar manakala jika perjalananya lebih dari satu jam ia akan terus dihantar menggunakan kontena seawal seminggu bersama-sama bekalan makanan harian petugas pelantar.
Menu-menu yang disediakan oleh pihak katering pada hari raya pertama buat petugas di pelantar adalah menu yang sama disediakan di darat seperti lemang, ketupat, rendang dan kambing bakar.
Namun, Rahmat juga berkata sekiranya ada permintaan menu lain dari pelantar pihaknya akan cuba memenuhi permintaan tersebut dengan membekalkan bahan-bahan mentah seperti udang karang, kambing golek dan ayam golek bergantung kepada bajet yang ditentukan oleh pihak pengurusan pelantar.
- Bernama
