Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
J'kuasa parlimen boleh minta k'jaan jelaskan pelantikan SPRM
Diterbitkan:  Jun 5, 2019 1:36 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama boleh meneliti pelantikan bekas ahli PKR Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, kata peguam Syahredzan Johan.

Tambah Syahredzan, walaupun penelitian oleh jawatankuasa itu tidak boleh mempengaruhi pelantikan berkenaan, ia boleh meminta kerajaan untuk menjelaskan pelantikan itu.

"Jawatankuasa pelantikan awam boleh meneliti pelantikan Latheefa selepas ia dibuat untuk melihat sama ada dia sesuai atau tidak. Ia adalah penelitian keputusan kerajaan.

"Jika, atas sebarang sebab, jawatankuasa mendapati pelantikan itu tidak sesuai, maka, meskipun tidak mempengaruhi pelantikan berkenaan, ia bererti kerajaan perlu menjelaskan keputusannya," kata Syahredzan dalam siri ciapan di Twitter, semalam.

Syahredzan yang juga merupakan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata fungsi Jawatankuasa Pemilihan Parlimen adalah untuk semak dan imbang keputusan eksekutif, dan bukannya meluluskan keputusan itu.

Syahredzan berkongsi pandangan sama bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang mengatakan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Parlimen tidak mempunyai peranan dalam pelantikan awam.

"Saya rasa ada salah faham tentang apa tugas jawatankuasa parlimen itu.

"Ramai yang anggap eksekutif perlu melalui jawatankuasa ini sebelum membuat keputusan, seperti keputusan penatikan awam utama.

"Itu bukan cara ia berfungsi," katanya.

Bagaimanapun, kata Syahredzan, Jawatankuasa Pemilihan Parlimen boleh meminta saksi berkaitan tampil untuk disoal siasat berhubung pelantikan itu.

"Saya percaya jawatankuasa ini mempunyai kuasa untuk memanggil saksi hadir. Tiada yang boleh menghaang mereka memanggil ketua setiausaha negara atau (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Shukri Abdull untuk menjelaskan pelantikan itu.

"Itu peranan penelitian legislatif," katanya.

Syahredzan juga berkata bahawa, membawa cadangan pelantikan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen sebelum pelantikan dibuat bukan cara yang betul.

Latheefa, seorang peguam, menggantikan Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Pelantikan Latheefa berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

Bagaimanapun, pelantikan Latheefa dikritik oleh ahli politik dari kalangan PH dan pembangkang serta aktivis yang mempersoalkan peguam itu kerana sebelum ini merupakan ahli PKR dan pernah memegang jawatan dalam parti.

Meskipun Latheefa kemudian mengumumkan bahawa dia sudah keluar dari PKR apabila mendapat tahu akan dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, pengkritiknya masih tidak berpuas hati.

Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen juga mendedahkan bahawa mereka tidak maklum dengan pelantikan itu.

PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji bahawa pelantikan utama dalam agensi termasuk SPRM perlu diluluskan oleh jawatankuasa parlimen yang sesuai.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS