Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian Pertahanan: Pemerolehan 12 drone ScanEagle tanpa kos
Diterbitkan:  Jun 7, 2019 3:07 PM
Dikemaskini: Jun 11, 2019 7:21 AM

Pemerolehan 12  drone atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle bernilai hampir RM80 juta tidak melibatkan sebarang kos pada kerajaan Malaysia.

Sebaliknya, jelas Kementerian Pertahanan ia merupakan program yang dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat (AS).

"AS melalui program Maritime Security Initiative (MSI) telah menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan (aset) dan kapasiti (latihan) kepada negara-negara rakan termasuk Malaysia bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara.

"Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan Malaysia," kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu sebagai merujuk laporan berhubung pemerolehan 12 Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) ScanEagle yang dihasilkan oleh subsidiari Boeing, Insitu Inc.

Jelas kenyataan itu lagi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima aset berkenaan secara berperingkat bermula 2019 hingga 2022 di mana kumpulan pertama sebanyak Enam ScanEagle UAV dijangka akan diterima pada pertengahan November ini.

"Selain daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi penguatkuasa lain turut menerima manfaat di bawah program MSI bagi meningkatkan keupayaan pengawasan maritim dan perkongsian maklumat di kalangan agensi penguatkuasa dan ATM.

"ScanEagle UAV yang bakal diterima daripada AS akan dapat membantu Malaysia dalam membuat pengawasan maritim sementara Kementerian Pertahanan membuat perolehan dua Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12)," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Malaysia sebagai sebuah negara maritim amat memerlukan keupayaan intelligence (risikan), surveillance (pemantauan) dan reconnaissance (pninjauan) (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

"Selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak memihak kepada sesiapa dan membina jaringan persahabatan dengan semua, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk AS dan China bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan di rantau Asia Tenggara," kata kenyataan itu.

Menurut laman The Defence Post, pesawat berkenaan mempunyai kebolehan untuk terbang selama 20 jam dan boleh digunakan untuk misi risikan, peninjauan dan pemantauan.

Selain Malaysia, yang memperoleh 12 unit, negara lain yang berada di rantau Laut China Selatan turut terlibat program berkenaan.

Indonesia dan Filipana masing-masing akan memperoleh lapan unit, sementara Vietnam enam unit.

Lihat Komen
ADS