Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Peniagaan India mahu isu peniaga asing di karnival diselesaikan

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang memberikan kebenaran kepada peniaga asing untuk berniaga semasa karnival jualan dalam negara yang dilihat menjejaskan peniaga tempatan.

Presidennya, N Gobalakrishnan berkata tindakan agens-agensi kerajaan membenarkan peniaga-peniaga asing itu berniaga secara 'one-off' di karnival-karnival di seluruh negara mengakibatkan kerajaan kehilangan ratusan juta setiap tahun.

"Bagaimana kerajaan boleh 'halalkan' peniaga yang berniaga secara haram tanpa mempunyai lesen perniagaan dan juga menggunakan perkhidmatan pekerja asing tanpa izin (pati).

"Lebih mengecewakan menteri sendiri merasmikan karnival-karnival jualan sebegini tanpa menyedari akibatnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat MAICCI, di Kuala Lumpur, hari ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, beliau dipercayai merujuk kepada satu karnival yang dihadiri oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar semasa Karnival Global Indian Festival yang sedang berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley.

Karnival anjuran Agenda Suria Communication Sdn Bhd itu dan karnival lain akan diadakan di seluruh negara menjelang Deepavali.

"Kebanyakan peniaga yang berniaga di situ tidak mempunyai lesen perniagaan daripada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Mereka menggunakan pekerja asing tanpa permit untuk berniaga.

"Lebih pelik, kerajaan juga memberi pengecualian cukai kepada peniaga-peniaga ini sedangkan kami peniaga tempatan membayar cukai sebanyak 27 peratus,” katanya.

Menurut Gobalakrishnan, penganjur karnival-karnival ini mensasarkan peniaga luar diberi tempat untuk berniaga selama 10 hingga 14 hari dengan bayaran RM8,000.

"Peniaga yang berniaga di karnival-karnival ini tidak membayar sebarang cukai kepada kerajaan kerana diberi pengecualian cukai. Barang yang dijual kebanyakan masa dibawah masuk secara haram.

"Setelah berniaga, mereka ini balik ke negara asal dan kembali ke karnival lain.

“Isu pokoknya mereka tidak membayar sebarang cukai kepada kerajaan sedangkan mereka berniaga hampir di 10 hingga 12 karnival (atau enam hingga lapan bulan) yang jelas merugikan kerajaan Malaysia," katanya.

Gobalakrishnan berkata bahawa MAICCI tidak membantah penganjuran sebarang karnival tetapi, kerajaan perlu memastikan peniaga tempatan diberi keutamaan.

"Kami membangkitkan isu ini hampir 10 tahun. Memberi memorandum kepada bekas perdana menteri, menteri KDN, Kementerian KPDNKK, DBKL, Jabatan Imigrersen, Jabatan Kastam. Tetapi, tiada sebarang hasilnya,” katanya.

Beliau turut mendakwa kerajaan tidak ambil sebarang tindakan kerana penganjur karnival ini 'mesra' dengan beberapa menteri.

"Saya diberitahu bahawa penganjur-penganjur inilah yang mengajurkan sebarang program di kawasan menteri.

"Kalau kerajaan tetap berdegil nak menganjurkan karnival-karnival sebegini dengan alasan bahawa harganya lebih rendah berbanding di permis peniaga tempatan, maka kami meminta kerajaan memberikan pengecualian cukai yang sama kepada kami supaya kami juga boleh memberi harga yang rendah pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Peniaga-Peniaga Tekstil dan Barang-Barang Am India Malaysia (MITA) R Maheswary turut membuat satu laporan polis pada 4 Jun terhadap penganjuran karnival tersebut yang masih sedang berlansung sehingga 9 Jun ini.

"Saya membuat laporan polis kerana ia dijalankan tanpa memiliki lesen perniagaan yang sah. Ia, adalah satu kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan. Kalau peniaga-peniaga sekadar nak mempamerkan barang dari negara mereka, ia tidak sepatutnya dijualkan kepada orang ramai.

"Kami tidak musuh kepada karnival sebegini. Tetapi, siapa yang untung daripadanya? Peniaga asing yang bermanfaat. Peniaga-peniaga tempatan terpaksa gulung tikar.

"Sebagai pada satu karnival di Bukit Jalil tahun lepas, daripada 523 peniaga, 500 adalah peniaga asing yang tidak memiliki sebarang lesen perniagaan," katanya.

Menurut Maheswary, ada peniaga asing yang mampu sewa sehingga lapan lot pernigaan dengan bayaran RM64,000.

"Beliau mampu membuat bayaran kerana, beliau tidak membayar apa-apa cukai atau bayaran lain kepada kerajaan. Semua hasil jualannya akan dibawa balik ke negara asal.

"Jadi, kenapa kerajaan perlu menghiburkan karnival jualan sebegini?" soalnya sambil menambah bahawa dia mempunyai bukti untuk semua tuduhan yang dibuatnya.

"Saya harap, Jabatan Imigresen dan SSM segera mengambil tindakan terhadap peniaga-peniaga ini yang jelas melanggar undang-undang Malaysia dengan menggunakan pekerja tanpa permit dan juga tidak memiliki lesen perniagaan," katanya.

Lihat Komen
ADS