Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: Ego Mahathir makin hari makin besar
Diterbitkan:  Jun 7, 2019 4:27 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

MCA mengkritik Dr Mahathir Mohamad berhubung pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM dan menyifatkan perdana menteri itu bersikap ego kerana tidak berbincang dengan kabinet dalam membuat keputusan berkenaan.

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng juga mempersoalkan menteri kabinet PH yang disifatkan sebagai berdiam diri berhubung tindakan Dr Mahathir.

Sikap berdiam diri menteri kabinet PH itu, katanya, menimbulkan kebimbangan Dr Mahathir akan bersikap 'diktator' dan 'kronisme' yang berbahaya bagi masa depan negara.

"Ego Dr Mahathir makin hari makin besar.

"Dengan contoh ini, kerajaan PH akan terjebak dengan kronisme, menjadi kerajaan yang membelakangkan asas demokrasi yang digunakan PH untuk mengambil alih kerajaan.

"Ini merupakan pengkhianatan terhadap aspirasi dan harapan rakyat untuk harapan yang lebih baik.

"[...] Sehingga kini, menteri kabinet hanya menggambarkan pelantikan berkenaan tidak melibatkan mereka, namun belum ada antara mereka yang mengulas tentang tindakan Dr Mahathir, yang merupakan kekecewaan dan sebab untuk bimbang kewenangan beliau," kata Tan dalam kenyataan media hari ini.

Rabu lalu, Dr Mahathir mengaku bahawa beliau sendiri memilih Latheefa untuk menjadi ketua pesuruhjaya SPRM tanpa berbincang dengan kabinet.

Jelas Dr Mahathir, beliau berbuat demikian kerana tidak mahu terkekang dalam memilih individu yang akan menjawat jawatan itu.

Latheefa dilantik menggantikan Mohd Shukri Abdul yang memohon perkhidmatannya dipendekkan. Pelantikan itu berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

Dr Mahathir juga berkata beliau meminta pendapat pihak lain berhubung perwatakan Latheefa sebelum membuat keputusan itu.

Pelantikan Latheefa juga mendapat kritikan kerana pembabitan peguam itu dalam PKR, termasuk memegang jawatan sebagai ketua biro perundangan dan ahli jawatankuasa kepimpinan pusat.

Latheefa sudah keluar dari PKR selepas mendapat tahu tentang pelantikan itu. Namun pengkritiknya menyifatkan, ia tidak mengubah persepsi sokongan beliau.

Dr Mahathir sebelum ini juga menyifatkan janji PH dalam manifesto untuk tidak membuat pelantikan politik sebagai tidak adil kerana menurutnya, ia menghukum individu yang bekerja keras memastikan kemenangan PH sebelum ini.

Bagaimanapun, dalam kenyataan medianya hari ini, Tan menyifatkan penjelasan Dr Mahathir sebagai 'mengejutkan'.

"Memandangkan PH mempunyai ramai individu berkebolehan yang membantu dalam pilihan raya, adakah Dr Mahathir mahu memberikan mereka semua jawatan penting?" katanya.

Lihat Komen
ADS