Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Kerajaan PH yang kini sudah berumur satu tahun boleh dikatakan mempunyai rekod prestasi yang bercampur-campur.

Tidak boleh dinafikan kejayaan PH menunaikan beberapa janji pilihan rayanya dan mengheret kleptokrat-kleptokrat ke muka pengadilan melalui siri pendedahan yang diumumkan.

Antara kejayaan terbesar PH adalah seperti berikut:

  • Penghapusan cukai GST dan keputusan untuk menstabilkan harga minyak RON 95 telah mengurangkan beban kos kehidupan yang menekan rakyat walaupun masih belum mencukupi.
  • Pengenalan pas pengangkutan awam tanpa had pada harga RM100 akan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan sesakan lalulintas selain mengurangkan beban kewangan rakyat.
  • Peningkatan gaji minima kepada RM1100, walaupun kecil akan menggalakkan peningkatan produktiviti pekerja Malaysia
  • Pengurangan kos projek ECRL membolehkan dana ditumpukan untuk tujuan yang lebih mendesak seperti menaik taraf infrastruktur kesihatan dan pendidikan
  • Pembongkaran isu-isu salah guna kewangan yang melibatkan institusi Bumiputera dan Islam seperti Tabung Haji dam FELDA telah disusuli langkah-langkah positif yang akan menjamin masa depan institusi-institusi berikut.
  • Kesungguhan kerajaan membasmi rasuah dengan penghasilan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) wajar disokong oleh semua.

Walaubagaimanapun, perlu juga diakui bahawa ada kekurangan dan kelemahan yang dilakukan oleh pentadbiran PH yang menimbulkan banyak keresahan dalam kalangan Bumiputera.

Antara kekurangan dan kelemahan tersebut adalah:

  • Dasar financial austerity (penjimatan kewangan) menyebabkan kelembapan ekonomi yang pada dasarnya pasti lebih menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
  • Peruntukan untuk biasiswa telah dikurangkan dari RM4.7 bilion ke hanya RM3.8 bilion iaitu pengurangan sebanyak hampir RM1 bilion dan ini pastinya lebih menjejaskan kebajikan pelajar Bumiputera.
  • Sistem perolehan kerajaan kini tidak lagi mesra Bumiputera. Laporan dan maklum balas yang Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) terima menunjukkan bukan sahaja jumlah kontrak makin berkurang malah kerajaan mengeluarkan tender-tender yang terlalu besar nilainya kepada kontraktor Bumiputera. Ini hanya akan menggalakkan amalan Ali Baba kerana syarikat Bumiputera yang layak tidak dapat menyediakan modal dan ini membuka ruang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menggunakan status Bumiputera mereka untuk menjual kontrak kerajaan. Pelbagai pihak telah bersuara namun masih tiada tindakan sehingga kini. Pihak Kementerian Kewangan perlu bertindak segera agar persepsi bahawa masyarakat ekonomi Bumiputera terancam dengan pentadbiran Pakatan Harapan dapat ditepis. MTEM sendiri telah menerima maklum balas daripada persatuan kontraktor Bumiputera yang mengesahkan rungutan ini. Anehnya Kementerian Kewangan seperti tidak peduli tentang maklum balas ini.
  • Kerajaan PH dituduh mengalami gejala kelumpuhan dalam menentu dan melaksanakan dasar (policy paralysis). Ini mengurangkan keyakinan rakyat, ahli perniagaan dan pelabur dalam Malaysia
  • Lambakan pekerja asing tanpa izin masih tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan PH. Kegagalan ini akan melambatkan perjalanan Malaysia mencapai status negara maju kerana industri-industri di Malaysia tiada insentif untuk meningkatkan teknologi dan produktiviti mereka.
  • Setelah satu tahun berlalu, wawasan dan rancangan kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera masih kurang jelas dan ini menyebabkan kaum Bumiputera mempersoal kesungguhan kerajaan PH untuk menjaga kepentingan mereka. Apa khabar Teraju, Ekuinas, MARA dan agensi-agensi serta program pemerkasaan Bumiputra yang lain? Sudah tentu kita harapkan strategi yang lebih hebat dan berkesan daripada yang lepas. Kita masih menunggu pelan tindakan daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang akan merancakkan ekonomi negara.
  • Kementerian Pertanian pula cukup mengecewakan dengan sikap syok sendiri dan terlalu terpengaruh dengan lobi kapitalis. Bukan sahaja tuntutan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Dan Beras (Padi Rescue) yang tersenarai dalam Manifesto PH tidak dilayan sewajarnya, Halatuju Kementerian Pertanian 2019 - 2020 pula terlalu menekankan konsep 'economic of scale', 'bigger is better' dan 'private driven industri' yang pasti akan meminggirkan majoriti petani di Malaysia dan digantikan dengan kemasukan syarikat - syarikat berkepentingan. Dengan pelbagai masalah yang dihadapi majoriti petani dan nelayan, rancangan pengenalan Rang Undang-undang Benih dan pengiktirafan kepada Konvensyen UPOV 91 yang akan menafikan amalan turun termurun dan hak petani terhadap benih akan meminggirkan lagi majoriti petani dan menjejaskan agrobiodiversiti tanaman.

Namun demikian, MTEM gembira dengan ucapan perdana menteri pada majlis menandakan ulang tahun pertama PH sebagai kerajaan persekutuan kerana meletakkan Kemakmuran Bersama sebagai teras ucapan beliau.

MTEM telah lama melaungkan Kemakmuran Bersama untuk merapatkan jurang ekonomi di antara kaum-kaum di Malaysia.

Keperluan untuk Kemakmuran Bersama adalah sangat mendesak kerana status ekonomi Bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Ini dapat dilihat melalui statistik - statistik berikut:

  • Pendapatan per kapita pada tahun 2014 bagi Bumiputera hanya sebanyak 21.7 peratus (RM16,066 setahun) berbanding pendapatan bagi bukan-Bumiputera (RM74,067 setahun).
  • Bumiputera hanya memiliki 26.1 peratus daripada aset perumahan di Malaysia manakala bukan- Bumiputera sebanyak 63.3 peratus sedangkan bilangan penduduk Bumiputera hampir 3 kali ganda berbanding bukan-Bumiputera.
  • Sumbangan kepada ekonomi oleh SME Bumiputera hanya 12 peratus daripada jumlah KDNK Malaysia.
  • Pemohon kerja Bumiputera masih menghadapi diskriminasi pekerjaan di sektor swasta. Sebagai contoh, keperluan untuk bertutur bahasa Mandarin sebenarnya hanya alasan untuk menawarkan pekerjaan kepada kaum Cina sahaja.
  • Gejala “Ali Baba” semakin berleluasa semasa penghujung pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan membantutkan matlamat Agenda Ekonomi Bumiputera. 1.1 trilion Ringgit telah dibelanjakan kerajaan sejak 1990 dan 675 bilion Ringgit telah disalurkan kepada syarikat-syarikat berstatus Bumiputera. Namun, sumbangan SME Bumiputera kepada KDNK Malaysia kurang dari 9.0 peratus. Gejala “Ali Baba” dipercayai penyebab utama berlakunya keadaan ini.

Dasar Kemakmuran Bersama perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Pastinya, akan ada perbezaan pendapat berkenaan langkah dan strategi yang terbaik untuk melaksanakannya tetapi matlamat utama Kemakmuran Bersama iaitu pemerkasaan ekonomi Bumiputera tanpa menjejaskan tahap ekonomi bukan-Bumiputera mesti dijadikan panduan asas.

MTEM berharap Kemakmuran Bersama akan diterjemah menjadi Dasar Ekonomi Baru (DEB) kedua yang lebih berkesan dan bersifat lestari serta mampu menyatukan rakyat untuk membangunkan negara bersama - sama.

Polemik tentang Matrikulasi menggambarkan masih ramai yang tidak faham tentang keperluan tindakan afirmatif yang bukan sahaja mempunyai asas ekonomi tapi juga selari dengan tafsiran perlembagaan negara.

Keputusan kabinet untuk mengekalkan kuota kemasukan bagi program matrikulasi pada 90 peratus bagi Bumiputera adalah langkah yang betul kerana objektif asal matrikulasi adalah untuk membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan pra-universiti yang berkualiti.

Mereka yang tidak dapat menerima keputusan ini seolah-olah tidak sensitif kepada bantuan strategik bagi Bumiputera yang memerlukannya dan ini menambah persepsi bahawa ada golongan yang berniat untuk terus menghapuskan segala bentuk bantuan khas Bumiputera.

Lantaran itu, MTEM mengujar kerajaan untuk turut memastikan dasar-dasar berikut untuk menjayakan Kemakmuran Bersama yang sebenar:

  • Meningkatkan gaji minimum secara berperingkat agar mencapai RM1,500 sebulan sebelum pilihan raya umum yang seterusnya
  • Melaksanakan undang-undang antidiskriminasi yang ketat dan menyeluruh untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi di sektor pekerjaan
  • Mengurangkan ke tahap minimum, bilangan pendatang asing tanpa izin di Malaysia agar ekonomi Malaysia boleh berubah menjadi ekonomi yang berasaskan kemahiran tinggi dan bukannya pemburuhan bergaji rendah
  • Akta Sabotaj Ekonomi yang sudah diumumkan pada September 2018 untuk membasmi gejala Ali-Baba namun masih belum kelihatan apa-apa kemajuan sehingga kini mesti dipercepatkan pelaksanaannya.
  • Semua projek mega harus dikaji oleh Parlimen dengan bebas, merentasi parti politik dan bebas daripada pengaruh Eksekutif untuk menentukan kebergunaan sebenar projek-projek berkenaan dengan kritikal.
  • Pemain industri tempatan dan Bumiputera perlu meraih lebih banyak manfaat daripada projek-projek mega berbanding syarikat-syarikat gergasi dari luar negara.
  • Perlu ada banyak projek-projek mini yang berimpak tinggi berbanding projek-projek mega yang kecil bilangannya tetapi mempunyai kos yang sangat tinggi dan diragui kebergunaan ekonominya.

Masalah Malaysia yang terbesar sekarang dan di masa hadapan adalah usaha untuk mengurangkan ketidaksamaan antara kaum, dalam kaum serta antara bandar dan luar bandar.

Rasuah, salah guna kuasa dan salah tadbir yang dihalalkan atas nama kepentingan Bumiputera banyak menggagalkan pelbagai peluang yang diberi pada kaum Melayu dan Bumiputera.

Kali ini, agenda Kemakmuran Bersama wajib dipastikan agar Bumiputra tidak lagi ketinggalan dan dipersiapkan untuk maju ke hadapan menjelang 2030.

Oleh itu MTEM berharap kerajaan akan lebih cakna dengan suara rakyat dan juga dapat membezakan antara kritikan berbaur politik dengan maklum balas yang jujur.

Jika kerajaan bertindak pantas untuk meneliti perkara - perkara yang telah disebutkan ini dan membantu kaum Bumiputra bukan sahaja dalam kelompok B40 tetapi termasuk komuniti peniaga, pasti ia akan menggalakkan orang Melayu dan Bumiputera bersatu menyokong semua inisiatif yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu mereka.

Tindak balas jangka pendek daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi penting untuk Malaysia keluar drpd kemuraman ekonomi secepat mungkin menuju 'separuh masa kedua' 2019.

Kerajaan mestilah dapat membezakan kritikan berbaur politik dengan kritikan yang memerlukan perhatian segera.


Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) adalah sebuah payung organisasi yang mewakili lebih 50 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu di peringkat Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS