Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata perpaduan Melayu perlu dilihat merentasi parti politik dan bukan sekadar penggabungan parti atau bermatlamat mendapat kuasa.
Menurutnya, pemikiran ahli politik Melayu harus mengambil kira semua kelompok Melayu daripada pelbagai latar belakang dan kepentingan.
"Dalam erti kata lain, agenda pemimpin Melayu dari mana-mana parti semestinya membawa bisikan setiap denyutan nadi dan isi hati orang Melayu secara keseluruhannya.
"Ia harus inklusif bukan eksklusif. Barulah seruan itu nanti akan lebih menyeluruh dan benar-benar lahir dari rintihan rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook.
Aminuddin berkata, sekiranya pemimpin Melayu memahami 'prinsip dan dasar yang harus disepakati' bersama, maka orang Melayu tidak akan takut dengan perpecahan.
“Orang Melayu tidak takut kepada 'perpecahan' walaupun ada 100 parti baru ditubuhkan kerana mereka tahu apabila menyentuh soal-soal utama ini mereka akan bersolidariti bersama di dalam parlimen mahupun di luar parlimen.
“Inilah perkara-perkara yang mesti diwacanakan secara terus terang, tulus dan mulus di kalangan pemimpin Melayu, bukannya berlumba-lumba untuk menjatuhkan satu sama lain secara total,” tulisnya.
Sesetengah pihak melihat politik Melayu kini berpecah belah meskipun Umno dan PAS - dua parti utama yang mewakili kepentingan Melayu dan Islam - mengumumkan kerjasama politik mereka.
Sebelum ini perpecahan dalam Umno dan PAS, melahirkan dua buah parti yang masing-masing turut berteraskan Melayu dan Islam iaitu Bersatu dan Amanah.

Pada 23 Mei lalu, bekas orang kuat Umno, Ibrahim Ali mengumumkan penubuhan sebuah lagi parti baru berasaskan Melayu yang dinamakan sebagai Putra.
Tindakan Ibrahim itu bagaimanapun mengundang teguran sinis dari Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Secara menyindir, Dr Mahathir berkata, lebih banyak parti politik ditubuhkan adalah lebih baik bagi membuktikan tiada satu pun parti orang Melayu memiliki majoriti besar di negara ini.
"Kita bebas untuk tubuhkan seberapa banyak parti politik yang kita mahu, bukankah bagus kalau kita ada 100 parti?
"Dengan itu, orang Melayu akan berpecah 100 parti dan tak ada satu parti Melayu besar yang tunggal," kata Mahathir sinis.
Selain itu, Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob menyifatkan penubuhan lebih banyak parti berteraskan Melayu hanya akan memecahkan lagi kaum tersebut.
'Jutaan Melayu tak berminat parti politik'
Dalam hantaran tersebut, Aminuddin berkata, sebahagian besar masyarakat Melayu beranggapan perpaduan Melayu terhenti setakat di peringkat kerjasama parti politik terutamanya PAS dan Umno.
“Akhirnya seruan mereka hanyalah sekadar untuk membawa rakyat menyokong parti masing-masing walhal di luar sana ada jutaan orang Melayu yang tidak berminat dan tidak mahu pun terlibat dengan mana-mana parti politik.
“Mereka ini seperti NGO, ketua-ketua masyarakat, ulamak-ulamak, guru-guru pondok, golongan professional, generasi muda, ahli-ahli perniagaan, orang perseorangan dan lain-lain.
"Malah sebahagian dari mereka ini sudah meluat dengan retorik parti yang sekadar mahu undi mereka,” katanya.
