Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fungsi PSC ketika ini hanya 'meneliti' pelantikan
Diterbitkan:  Jun 9, 2019 4:55 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC) hanya berfungsi sebagai peneliti dan tidak perlu mendapat nasihat perdana menteri.

Menurut terma rujukan jawatankuasa itu, fungsinya adalah bagi "meneliti" pelantikan awam utama seperti ahli Suhakam, SPR, SPRM dan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman.

"Fungsi PSC adalah untuk meneliti pelantikan jawatan awam utama... Ia bagi memastikan pelantikan dibuat berdasarkan merit.

"Jawatankuasa ini dicadangkan selari dengan perkara 16 Buku Harapan," kata jawatankuasa itu dalam terma rujukannya. Buku Harapan merujuk kepada manifesto pilihan raya umum PH.

PSC mempunyai kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 82(2) untuk memanggil saksi pakar untuk disoal berhubung sesuatu pelantikan.

Terma rujukan itu bagaimanapun tidak menyebutkan perdana menteri atau pihak yang membuat keputusan pelantikan sepenuhnya.

Peguam Syahredzan Johan sebelum ini berkata terdapat salah faham berhubung fungsi PSC.

Jelas Syahredzan, jawatankuasa itu tidak mempunyai peranan dalam pelantikan awam atau meluluskan sesuatu pelantikan.

Sebaliknya, kata Syahredzan, jawatankuasa itu adalah untuk semak dan imbang keputusan eksekutif.

Bagaimanapun, tambah Syahredzan, Jawatankuasa Pemilihan Parlimen boleh meminta kerajaan menjelaskan sesuatu pelantikan dan meminta saksi termasuk ketua setiausaha negara untuk tampil disoal siasat berhubung pelantikan itu.

Dokumen terma rujukan jawatankuasa itu juga tidak menyatakan situasi apabila PSC tidak bersetuju dengan pelantikan yang dibuat eksekutif.

Turut tidak dijelaskan adalah sama ada PSC itu akan turut meneliti pelantikan jawatan penting lain seperti ketua setiausaha negara atau peneraju agensi kerajaan seperti Felda.

PSC yang ditubuhkan Disember tahun lalu baru-baru ini mempersoalkan pelantikan peguam dan bekas ahli PKR Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengakui bahawa keputusan itu dibuatnya sendiri tanpa berbincang dengan kabinet mahupun PSC.

Susulan itu, Pengerusi PSC William Leong mengeluarkan kenyataan media yang menyifatkan bahawa dengan mengambil kira latar belakang Latheefa, pelantikan itu menjejaskan keyakinan dan persepsi orang ramai terhadap SPRM.

Untuk rekod, pelantikan jawatan yang dilihat kurang penting - seperti pelantikan Ahli Parlimen Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah sebagai Pengerusi Penguatkuasa Pelabuhan Klang dan pelantikan Ahli Parlimen Larry Ng sebagai Pengerusi Lembaga Lada Malaysia - tidak dibahaskan orang ramai meski tidak melalui penelitian PSC.

Dalam kebanyakan situasi, pelantikan seumpamanya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat perdana menteri.

Bagaimanapun, berhubung pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM, Dr Mahathir pada Ogos tahun lalu, bagi pihak jawatankuasa khas kabinet dalam memerangi rasuah, berkata pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM perlu mendapat pertimbangan PSC.

Dr Mahathir menambah bahawa jawatankuasa khas kabinet itu juga bersetuju untuk membenarkan PSC mengambil alih jawatankuasa khas SPRM bagi kes rasuah untuk memantau tindakan dan keputusan suruhanjaya itu.

Dalam perkembangan sama, Leong hari ini memaklumkan bahawa dia akan mengeluarkan nois kepada ahli PSC untuk bermesyuarat bagi membincangkan pelantikan Latheefa.

Leong juga memaklumkan bahawa PSC akan berjumpa perdana menteri untuk berbincang tentang skop jawatankuasa itu.

 

Lihat Komen
ADS