Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-21: 'Lembaga pengarah SRC ke Switzerland untuk periksa wang masih di bank'

LANGSUNG | Selepas berehat selama seminggu sempena kedatangan 1 Syawal, Najib Razak kembali dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) hari ini.

Memasuki hari ke-21, perbicaraan hari ini akan tertumpu kepada keterangan bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Azian Mohd Noh.

Malaysiakini kembali membawakan laporan secara langsung perbicaraan tersebut di sini.

LANGSUNG

5.07 petang: Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami untuk hari ini.

Liputan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan menyertai program langganan pada kadar serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.


5.05 petang: Perbicaraan ditangguh dan akan disambung pada sembilan pagi esok dengan pemeriksaan utama terhadap bekas pengarah SRC International Ismee Ismail.


4.35 petang: Ismee Ismail berkata seluruh lembaga pengarah SRC International pergi ke ibu pejabat BSI Switzerland (kini EFG) di Lugano pada September 2013 untuk memastikan dana syarikat itu masih ada di bank.

Bekas pengarah SRC International itu memberitahu DPP Ishak Mohd Yusoff bahawa lembaga pengarah - Suboh Yassin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Nik Faisal Ariff Kamil dan dirinya sendiri - ingin berbincang dengan pengurusan tertinggi BSI.

Ishak: Pada September 2013 (merujuk kepada minit SRC International untuk tahun itu), adakah Tan Sri pergi ke Switzerland?

Ismee: Ada. Semua lembaga pengarah - saya, Datuk Rashidi, Suboh, Nik Faisal.

Ishak: Adakah lawatan ini atas kebenaran pemegang saham?

Ismee: Saya rasa ia dibuat oleh pengurusan. Saya tak maklum ada persetujuan pemegang saham (atau tidak). Kita perlu pergi sebab kita banyak kali timbulkan tentang dana kita di BSI, jadi kita jumpa semua pengurusan kanan dan presiden bank.

Sebelum ini pengurusan hanya (dengar) cerita saja tentang BSI...Jadi kita ke sana dan sedikit lega sebab dana kita selamat di BSI. Secara peribadi saya lega sebab BSI adalah bank yang besar.

Ishak: Mengapa penting untuk pastikan wang itu di BSI?

Ismee: Untuk pastikan wang masih di sana, sangat penting untuk kita pastikan perkara itu. Untuk memastikan dana kita masih di sana, dideposit dalam bank.

Ishak: Macam mana Tan Sri tahu wang itu benar-benar di sana?

Ismee: Mereka (pengurusan BSI) tidak tunjukkan wang kepada kami. Kami bertemu dengan pegawai kanan mereka, dan saya rasa presiden (bank). Saya tak ingat nama mereka, mereka berikan penjelasan tentang operasi bank, dan beri jaminan wang masih di sana.

Terdahulu hari ini, Ismee berkata minit mesyuarat lembaga pengarah SRC International pada 13 September 2011 menyebut tentang bahagian pertama daripada pinjaman RM2 bilion daripada KWAP, dengan sebahagian daripada dana itu disimpan di luar negara.


3.30 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pasukan pembelaan Najib Razak untuk tidak memperakui minit mesyuarat didakwa berlangsung di antara Nik Faisal dan Najib pada 7 Sept 2011 sebagai bukti pendakwaan.

Sebaliknya, hakim memerintahkan bahawa minit-minit mesyuarat yang disebutkan itu kekal sebagai item ID499 buat masa ini.

Dalam keadaan biasa, item yang cuma ditandakan sebagai ID tidak boleh disaring kandungannya dalam prosiding mahkamah.

Pendakwaan pula hanya boleh membuat rujukan kepada item tersebut tanpa boleh menyoal kandungannya.

"Sehingga dibuktikan bagaimana ia (minit mesyuarat pada 7 Sept itu) diperoleh SPRM, maha ia kekal sebagai ID buat masa ini," kata hakim.

Sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berhujah dokumen tersebut patut diterima sebagai barang bukti kerana ia dirujuk lembaga pengarah SRC seperti disaksikan dalam minit mesyuarat mereka pada 13 Sept 2011.

Terdahulu semasa memberikan keterangan Ismee memberitahu mahkamah lembaga pengarah SRC mengesahkan kandungan minit mesyuarat berkenaan.


2.35 petang: Najib Razak kembali memasuki kandang orang tertuduh bagi membolehkan perbicaraan sesi petang dimulakan. 

Pihak pendakwaan dijadual meneruskan soalan mereka kepada bekas ketua pegawai eksekutif dan pengerusi lembaga pengarah SRC, Ismee Ismail.


1.03 petang: Mahkamah berhenti rehat.


12.45 tengah hari: Peguam bela Najib Razak membantah apabila satu minit mesyuarat yang didakwa mencatatkan mesyuarat di antara bekas perdana menteri itu dengan Pengarah SRC ketika itu Nik Faisal Ariff Kamil sebagai bahan bukti.

Pertemuan tersebut berlangsung pada 2011.

Alasan yang diberikan peguam bela Najib ialah, dokumen berkenaan adalah palsu.

Peguam Harvinderjit Singh membangkitkan persoalan berkenaan kepada hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika pasukan pembelaan memohon agar ia ditandakan sebagai barang bukti.

Antara lain dokumen itu memaparkan butiran didakwa kebenaran oleh Najib berhubung peraturan susuran laporan (reporting line) yang perlu dilakukan pada SRC.

Menurut Harvinderjit, dokumen tersebut "meragukan" termasuk tarikh ia diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak diketahui.

Ismee Ismail

Kata peguam terbabit bekas pengerusi lembaga pengarah SRC, Ismee Ismail, bukanlah orang yang menyediakan dokumen tersebut, justeru ia adalah bahan bukti sekunder.

"Kami membantah dokumen berkenaan selewat Mei 2019, ini diserahkan kepada SPRM tanpa diketahui tarikhnya dan tidak diberikan kepada kami," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram memberitahu mahkamah, dokumen berkenaan disita SPRM dan kewujudkannya bermaksud ia boleh ditandakan sebagai bahan bukti.

Katanya, kesahihan dokumen tersebut boleh dicabar peguam bela selepas ini dan terserah kepada mahkamah untuk menentukannya.

Hakim kemudian memutuskan untuk menerima minit mesyuarat berkenaan sebagai bahan bukti.

Antara lain ia memperincikan perbincangan pada 7 Sept 2011 di antara Nik Faisal - yang masih belum ditemui ketika ini - dan Najib berhubung beberapa isu membabitkan operasi.

Kata Ismee antara yang dibincangkan ialah line of reporting hal SRC kepada Najib yang ketika itu menjadi perdana menteri.

Menurut Ismee kandungan minit mesyuarat itu bentangkan kepada lembaga pengarah SRC semasa pertemuan mereka pada 13 Sept 2011 dan disahkan dalam minit mesyuarat mereka.

Bagaimanapun saksi terbabit bersetuju kepada cadangan seorang lagi timbalan pendakwa raya Ishak Mohd Yusoff bahawa hanya Nik Faisal dan Najib yang boleh mengesahkan kandungan minit mesyuarat tersebut.


12.20 tengah hari: Mesyuarat pertama diadakan Lembaga Pengarah SRC memasukkan perbincangan mengenai permohonan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), kata saksi ke-39 pendakwaan.

Menurut Ismee Ismail, agenda pertemuan pada Ogos 2011 itu adalah berdasarkan kepada arahan daripada 1MDB.

Ismee memberitahu mahkamah semasa disoal timbalan pendakwa raya Ishak Mohd Yusuf, 1MDB ketika itu adalah pemegang saham SRC.

Ishak: Pada Ogos 2011, adakah Tan Sri hadir mesyuarat pertama Lembaga Pengarah SRC?

Ismee: Ya, hadir.

Ishak: Soalan saya, boleh jelaskan kenapa mesyuarat pertama telah bincangkan mengenai pembiayaan (pinjaman daripada KWAP)?

Ismee: Cadangan tersebut dibentangkan pengurusan untuk kami menerima pembiayaan dari KWAP dengan jaminan kerajaan ketika itu, di mana ia adalah arahan dari shareholder (pemegang saham).

Ishak: Boleh beritahu siapa pemegang saham ketika itu?

Ismee: Ketika itu 1MDB.

Ismee memberitahu disebabkan keadaan itu SRC perlu mengikut arahan diberikan 1MDB. Beliau ketika itu berkhidmat sebaga pengerusi lembaga pengarah SRC merangkap ketua pegawai eksekutifnya.

Kata Ismee lagi, Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) adalah pemegang saham 1MDB. Najib - ketika itu menjadi perdana menteri - juga bertindak sebagai menteri kewangan yang biasanya menandatangani arahan dikeluarkan MOF Inc.

Katanya SRC kemudian diletakkan secara langsung di bawah MOF Inc pada Feb 2012.

11.55 pagi: Giliran Ismee Ismail mengambil tempat untuk memberi keterangan sebagai saksi.

Dalam keterangannya Ismee berkata dia melepaskan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif SRC pada 15 Ogos 2014 ekoran masalah urus tadbir di syarikat berkenaan.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Ishak Mohd Yusoff, Ismee berkata dia tidak bersetuju dengan cara Nik Faisal Ariff Kami menguruskan akaun SRC.

Nik Faisal ialah pengarah SRC yang ketika itu menjadi anak syarikat 1MDB.

"Saya bersara kerana saya tidak bersetuju dengan cara bagaimana syarikat itu diuruskan, terutama oleh Nik Faisal berhubung akaun syarikat," katanya.

Menurut bekas pengarah urusan Lembaga Tabung Haji itu lagi, dia membangkitkan isu urus tadbir SRC berkenaan tetapi Nik Faisal bertegas bahawa hal itu sudah dibincangkan dan dipersetujui kerajaan.

"Saya difahamkan ini bermakna (Nik Faisal membincangkannya dengan) Najib," kata saksi ke-39 pendakwaan itu.


10.55 pagi: Bekas CEO Kumpulan Wang Persaraan, Azian Mohd Noh, memberitahu mahkamah Najib Razak ialah "bos sebenar" (ultimate boss) justeru bekas perdana menteri itu mempunyai pengaruh atas keputusan badan tersebut membenarkan pinjaman dibuat kepada SRC.

Semasa disoal peguam pendakwaan, Ishak Mohd Yusoff, Azian berkata walaupun tidak terikat dengan kewajiban perundangan, Najib tetap mempunyai pengaruh sebagai menteri kewangan kerana SRC dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan.


10.45 pagi: Azian Mohd Noh - dalam kenyataan saksinya - berkata pinjaman sebanyak RM4 bilion yang diberikan kepada SRC itu adalah antara yang terbesar diluluskan oleh KWAP.

Dicadangkan peguam bela, Harvinderjit Singh, bahawa perenggan yang dirujuk itu adalah sama dengan keterangan diberi dua saksi terdahulu bahawa ia disediakan pihak berkuasa, Azian kemudian menafikannya.

Azian Mohd Noh

Kenyataan pada perenggan ke-56 itu, Azian berkata: "Berdasarkan pengalaman saya bekerja dengan KWAP, kedua-dua pinjaman berjumlah RM4 bilion kepada SRC itu adalah antara pinjaman terbesar dipersetujui oleh KWAP."

Sebelum ini, saksi ke-35 pendakwaan, Azlida Mazni Arshad, memberitahu mahkamah pinjaman berkenaan adalah antara yang terbesar diberikan KWAP.

Azlina ialah salah seorang anggota biro undang-undang KWAP.


10.20 pagi: Azian Mohd Noh memberitahu mahkamah dia tidak dapat mengingati dengan jelas apa yang berlaku dalam pertemuannya dengan Najib Razak - serta beberapa yang lain - pada 22 Mac 2012.

Bekas ketua pegawai eksekutif KWAP itu berkata demikian semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang memintanya menjelaskan pertemuan berlangsung dengan pengarah SRC ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil.

Terdahulu Harvinderjit merujuk kepada komunikasi melalui e-mel di antara SRC dan KWAP mengenai pinjaman sebanyak RM2 bilion yang akan disalurkan sekali gus kepada syarikat berkenaan.

Harvinderjit: E-mel ini mengenai pertemuan pada 22 Mac 2012 di antara Datuk (Azian), Tan Sri pengerusi KWAP, ketua Perbendaharaan dan timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan dengan bekas menteri kewangan merangkap perdana menteri Najib Razak?

Azian: Ya.

Harvinderjit: Adakah kamu ingat pertemuan tersebut?

Azian: Saya ingat ada menghadiri pertemuan berkenaan tetapi saya tak ingat secara terperinci perbincangan yang berlangsung dalam pertemuan tersebut.

Harvinderjit: Adakah kamu membuat sebarang catatan dalam pertemuan berkenaan?

Azian: Tidak. 


9.40 pagi: Bekas CEO Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Azian Mohd Nor memberitahu mahkamah, nasihan diberikan Kementerian Kewangan kepada SRC untuk mendapatkan tambahan dana daripada badan itu pada awal 2012 tidak termasuk arahan agar ia diberikan mengikut jumlah yang diminta.

Azian berkata demikian semasa disoal balas salah seorang peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Adakah kamu bersetuju SRC pada asasnya berkata (melalui surat kepada KWAP pada awal 2012) bahawa pemegang sahamnya, Kementerian Kewangan, bersetuju untuk SRC memohon pinjaman daripada KWAP?

Azian: Betul.

Harvinderjit: Ia bukan arahan daripada kementerian untuk KWAP memberikan pinjaman (kepada SRC)?

Azian: Betul.

SRC mendapat pinjaman sebanyak RM2 bilion daripada KWAP pada akhir 2011, dan tambahan RM2 bilion lagi pada awal 2012.


9.13 pagi: Najib Razak memasuki kandang orang kena tuduh selepas hakim bersedia memulakan perbicaraan. 


8.58 pagi: Najib Razak hadir dengan bersut warna krim dan memasuki mahkamah sebelum duduk di barisan depan menanti perbicaraan bermula.

Turut memasuki mahkamah, ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah.


8.52 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas muncul bersama pasukan pendakwaan. 


Pasukan pembelaan Najib menyambung semula pemeriksaan balas ke atas Azian di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mulai jam 9 pagi ini.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

 

Pada 29 Mei lalu saksi ke-38 pendakwaan itu menjelaskan bagaikana dia berjumpa Najib untuk memaklumkan kepada bekas perdana menteri itu mengenai perbincangan panel pelaburan KWAP yang hanya meluluskan pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada SRC.

Asalnya - pada 2011 - SRC memohon pinjaman daripada KWAP sebanyak RM3.95 bilion.

Panel pelaburan badan itu kemudian akhirnya meluluskan pinjaman sebanyak RM2 bilion selepas mendapat jaminan daripada kerajaan - yang ketika itu dipimpin Najib sendiri.

Bagaimanapun keterangan lisan diberikan itu didapati mempunyai jurang apabila ia kekurangan butiran terperinci mengenai sesi pertemuan saksi terbabit dengan Najib serta pengerusi KWAP ketika itu, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Ia mendorong hakim bertanya kepada Azian mengenai hal berkenaan, terutama berkaitan kekurangan kesinambungan berhubung apa yang terjadi dalam keterangan bertulisnya.

Azian Mohd Noh

Pada perenggan ke-23 keterangan bertulis, Azian berkata dia dan Wan Abdul Aziz bertemu Najib untuk memaklumkan keputusan panel pelaburan KWAP yang hanya meluluskan pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada badan itu.

Perenggan seterusnya pula menyatakan pegawai KWAP, Amirul Imran Ahmat, menyediakan dokumen untuk panel pelaburan agar mereka mempertimbangkan keputusan meluluskan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada SRC sebagai modal kerja dan pelaburan umum.

Azian kemudian memberitahu Mohd Nazlan, dia tidak dapat mengingati turutan kejadian tersebut.

Lihat Komen
ADS