Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Harga barang mentah terkawal bukti kejayaan Naccol'
Diterbitkan:  Jun 10, 2019 1:27 PM
Dikemaskini: Jun 11, 2019 3:57 AM

Harga barangan mentah yang terkawal sepanjang musim perayaan dan berkurangnya rungutan di kalangan pengguna menjadi bukti jelas kejayaan bersepadu setiap kementerian di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), kata Pemuda Amanah.

Naib ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata ia bukti kejayaan beberapa kementerian terutama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Langkah memasukkan 27 senarai barangan mentah dan memanjangkan tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) daripada 15 hari kepada 30 hari telah menunjukkan hasil positif," katanya dalam satu kenyataan.

Pada September tahun lalu, kerajaan mengumumkan untuk mengaktifkan semula Naccol yang ditubuhkan pada Disember 2017.

Naccol memiliki tiga peringkat, iaitu majlis tertinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, disusuli jawatankuasa eksekutif serta jawatankuasa peringkat pegawai.

Dalam kenyataannya Pemuda Amanah turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Naccol serta pasukan kementerian yang diterajui Salahuddin Ayub dan Saifuddin Nasution.

"Pemuda Amanah percaya bahawa selepas setahun mengambilalih pentadbiran negara, kesemua kementerian Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri bawah Pakatan Harapan telah menemui rentak dan formula terbaik untuk melakukan islah menyeluruh yang bakal memberikan manfaat besar kepada rakyat.

"Rakyat sebagai pemegang taruh terbesar kepada kerajaan hari ini berhak untuk menerima semula hasil tuaian, setelah perubahan besar yang mereka kenderai setahun yang lalu," tambahnya.

Lihat Komen
ADS