Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Malaysia tak mampu elak tempias perang dagangan AS-China

ULASAN | Jika diketepikan segala isu kelemahan yang mengepung Pakatan Harapan, yang mana kebanyakannya ditokok tambah oleh askar siber Barisan Nasional, apa yang tinggal hanyalah sebuah Persekutuan negeri-negeri berbeza, yang ternyata lebih baik dalam gabungan berbanding terpisah antara satu sama lain.

Jika salah satu negeri, terutamanya yang berada di Timur Malaysia, mula untuk menolak idea Malaysia sebagai sebuah Persekutuan, negara kita pasti akan melemah; sebagaimana lemahnya United Kingdom dengan Brexit. 

Apabila Scotland, Wales dan Ireland telah menegaskan pendirian mereka untuk kekal dalam Kesatuan Eropah, maka United Kingdom sebagai suatu entiti mula dipersoalkan.

Menggunakan ini sebagai penanda aras, sebarang bentuk politik yang memecahbelahkan rakyat akan mengancam Malaysia. 

Bermula dengan kawasan, kemudian dari segi psikologi dalam soal kesangsian antara satu sama lain, di mana boleh bertambah buruk oleh fahaman pelampau agama atau perkauman. Selain agama dan perkauman, terdapat satu lagi elemen yang boleh memecahbelahkan Malaysia, iaitu kemelesetan.

Kemelesetan boleh ditakrifkan oleh penyusutan ekonomi dua suku tahun. Kali terakhir Malaysia “nyaris maut” adalah pada krisis kewangan Asia 1997 dan sebelum kejatuhan harga getah dan timah pada tahun 1986.

Tanpa mengira bagaimana Malaysia dapat mengelak ancaman tersebut, termasuk krisis kewangan global 2007-2008, yang membawa kepada pengakhiran Lehman Brothers, sukar untuk menduga jika berlaku lagi kemelesetan ekonomi global dengan masalah ekonomi yang sedia ada di Malaysia sekarang.

Perang dagangan AS-China

Pada masa yang sama, perang dagangan Sino-AS merupakan sebahagian matriks perang yang lebih besar di antara AS dan China. 

Tom Wright di Institusi Brookings telah menggambarkan konflik antara AS dan China, juga antara AS dan Rusia, sebagai sebahagian daripada subset konflik yang lebih besar dalam keselamatan siber dan geopolitik.

“Thucydides Trap” antara AS dan China, berdasarkan Profesor Graham Allison di Universiti Harvard, ialah di mana kedua-dua negara bergelut dalam satu konflik dan kedua-duanya tidak boleh menarik diri.

Ini disebabkan oleh pertumbuhan besar-besaran dua kuasa ekonomi yang juga merupakan gergasi terbesar di dunia. Ia turut berlaku pada ketika KDNK seluruh Asia jauh lebih tinggi daripada barat buat pertama kali dalam tempoh 400 tahun pada 2019.

Setelah menguasai dunia dalam tempoh yang lama, barat yang diketuai oleh AS, tidak berdiam diri dan berputus asa. Akhirnya, memilih untuk mempertahankan kepentingan mereka dengan mengunci China dalam perang tarif, yang semakin hebat saban hari.

Malaysia tak mampu elak tempias

Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, dengan 30 peratus daripada GDPnya terdiri daripada perdagangan antarabangsa, Malaysia tidak mampu untuk mengelakkan dirinya daripada tempias perang dagangan tersebut.

Adapun Singapura, GDPnya bergantung kepada perdagangan antarabangsa sepuluh kali ganda berbanding Malaysia. Ini bermakna 300 peratus daripada GDPnya terdedah kepada pergolakan-pergolakan yang berlaku dalam perdagangan global.

Jika konflik Sino-AS menjadi semakin parah, Singapura akan turut terkesan sebagaimana Malaysia. Dan yang pasti akan terjejas adalah Johor, negeri yang paling hampir dengan Singapura; di mana puluhan ribu pekerja membanjiri kemasukan ke negara itu pada setiap pagi.

Meskipun perang dagangan itu hanya memberikan kesan sebanyak 0.4 peratus kepada GDP China dan 0.2 peratus kepada GDP AS, kesan itu akan menjadi semakin jelas menjelang 2020 saat Presiden Donald Trump bertanding semula dalam pilihan raya.

Bancian yang dilakukan oleh portal berita seperti rangkaian CNN sudah menunjukkan bahawa lebih daripada 30 peratus pengundi percaya Donald Trump boleh menang pilihan raya yang akan datang. Angka ini akan lebih meyakinkan presiden Donald Trump untuk memperhebatkan lagi perang dagangannya dengan China.

Pada masa yang sama, China tidak boleh ditundukkan kerana Presiden Xi Jinping bukanlah jenis pemimpin yang akan mengalah dulu. Bagaimana Trump dan Xi memutuskan untuk menguatkan ekonomi dan mempraktikkan kehendak politik masing-masing akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa pendek dan sederhana.

Jika Pakatan Harapan ingin berkuasa lebih daripada sepenggal, mereka mesti beri tumpuan untuk menambah baik prestasi ekonomi Malaysia, baik domestik mahupun antarabangsa.

Ini termasuklah menasihatkan AS dan China untuk menahan diri, suatu mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam suatu sesi Persidangan Pemimpin Asean di Bangkok pada Jun lepas dan sekali lagi pada November 2019.


DR RAIS HUSSIN merupakan presiden dan CEO EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, kesederhanaan, inovasi dan kerapian.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS