Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismee: Nik Faisal jadi 'perantara' antara SRC dan Najib
Diterbitkan:  Jun 10, 2019 2:36 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

KES NAJIB | Nik Faisal Ariff Kamil adalah "perantara" antara lembaga pengarah SRC International dengan bekas perdana menteri Najib Razak, kata saksi perbicaraan Ismee Ismail.

Ismee yang merupakan bekas pengerusi lembaga pengarah syarikat itu, berkata Najib menjadi "advisor emeritus" kepada SRC International dan pada tahap tertentu memiliki kuasa eksekutif.

"Bagi SRC, sebarang keputusan lembaga pengarah perlu mendapat nasihat daripada advisor emeritus, iaitu Najib.

"Jika terdapat sebarang perkara yang perlu dibawa ke perhatian Najib, tindakan tersebut akan dilakukan oleh Nik Faisal sahaja kerana hanya dia akan bertindak sebagai 'link' antara lembaga pengarah dan Najib.

"Tindakan melaporkan sebarang perbincangan atau keputusan berkaitan SRC akan dibuat oleh Nik Faisal sahaja kepada Najib," katanya dalam keterangan saksi yang dibaca di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, Nik Faisal sentiasa membentangkan cadangan kepada lembaga pengarah untuk arahan selanjutnya, tetapi lembaga pengarah perlu mendapat nasihat Najib selaku advisor emeritus.

Dalam keterangannya, Ismee berkata dia meletakkan jawatan sebagai pengarah SRC International pada 6 Mei 2014 walaupun ia hanya berkuat kuasa pada 15 Ogos tahun itu.

Dia berkata tindakan tersebut kerana tidak setuju dengan cara Nik Faisal menguruskan syarikat terutama berkenaan akaun syarikat.

Apabila dia membangkitkan isu pentadbiran SRC International, katanya lagi, Nik Faisal sentiasa berkata hal seumpama itu telah dibincang dan diputuskan oleh "kerajaan".

"Saya difahamkan ini bermakna (Nik Faisal membincangkannya dengan) Najib," kata saksi ke-39 pendakwaan itu.

Menurut Ismee, dia sedar Najib mempunyai autoriti untuk mengambil atau memecat mana-mana ahli lembaga pengarah.

Sepanjang bersama SRC International, dia berkata tugasnya ialah untuk mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah dan mengkaji cadangan berkaitan kewangan dan strategi syarikat.

Dia berkata Nik Faisal membentangkan cadangan untuk membuat pinjaman RM2 bilion daripada KWAP dengan jaminan kerajaan ketika mesyuarat lembaga pengarah pada 23 Ogos 2011. Pinjaman itu disalurkan enam hari kemudian.

Nik Faisal membentangkan satu lagi cadangan untuk meminjam RM2 bilion, juga daripada KWAP dan jaminan kerajaan, ketika mesyuarat lembaga pengarah pada 14 Februari 2012, kata Ismee. Pinjaman itu disalurkan pada 28 Mac 2012.

Menurut Ismee, RM40 juta daripada pinjaman itu digunakan untuk membeli (acquire) hartanah yang pada masa itu dijual kepada subsidiari SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

"Gandingan Mentari ditubuhkan dengan tujuan membeli hartanah di kawasan Bukit Jalil. Saya tidak tahu dengan hal ehwal syarikat itu kerana ia diuruskan Nik Faisal dan Suboh (Mohd Yasin)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS