Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waris pelajar, warden pusat tahfiz kemuka saman

Keluarga tujuh pelajar dan warden yang meninggal dunia dalam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah memulakan proses perundangan bagi menyaman pusat pengajian itu serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut menjadi plaintif dalam saman itu ialah 10 pelajar yang terselamat dalam tragedi yang menggemparkan negara pada 2017 itu.

Mereka mengemukakan writ saman melalui firma guaman Messrs Mohaji, Hazury & Ismail di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu.

Dua defendan pertama yang dinamakan ialah Mohd Zahid Mahmood, 49, dan Samsurini Mohd Anuwi. Kedua-dua mereka adalah pengendali pusat tahfiz berkenaan.

MAIWP pula disaman sebagai pemilik berdaftar dua lot tanah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang menjadi tapak asrama sekolah itu yang musnah terbakar dalam kejadian pada 14 Sept dua tahun lalu.

Lima plaintif terbabit ialah Mazzaini Muda, 49; Mudah Abd Gani, 56; Mashawani Mohamed, 39; Farawahida Wahid, 36; dan Nasrun Mat Yusuf, 48.

Mazzaini ialah ibu kepada Ahmad Rijal Mohammad Rodzi, 12; manakala Mudah ibu kepada Muhammad Haikal Abdullah, 12; Mashawani (Muhammad Hafiz Iskandar Mohd Sulaiman, 11; Muhammad Harris Ikhwan Mohd Sulaiman, 9; dan Muhammad Syafiq Halal Abdullah, 12) Farawahida (Muhammad Aiman Ramzanuddin, 12) dan Nasrun bapa kepada Muhamad Nizamudin Nasrun, 13).

Sepuluh pelajar yang menjadi plaintif pula ialah Wan Muhammad Danish Hisham Wan Nor Hisham, 16; Muhamad Syahmin Che Azmi, 20; Adib Baqir Mohd Khalid, 16; Muhammad Syamim Naim Mohd Sa'ani, 17; Muhammad Izzarudin Roslan, 17; Muhammad Afiq Zulkafli, 13; Muhammad Ihsan Husin, 18; Arief Zamzuri Jamaluddin, 18; Zunnun Misri Nasrun, 17; dan seorang warga Indonesia, Indra Kurniawan Abdullah.

Tiga lagi yang menjadi plaintif ialah Sakarno Talib, 58; Noriah Hamzah, 56; dan Nur Fatihah Othman, 24.

Mereka ialah bapa, ibu dan isteri warden pusat pendidikan itu, Allahyarham Muhammad Amrul Nizam Sakarno, 25.

Melalui saman itu mereka memohon pengisytiharan bahawa Zahid, Samsurini dan MAIWP cuai mematuhi Seksyen 225 (1) dan 227 Undang-undang Kecil Bangunan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1985.

Ketiga-tiga defendan didakwa cuai apabila gagal memastikan ada dua laluan keluar untuk asrama tersebut dan ia juga bercanggah dengan seksyen 166 peraturan sama.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS