Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kebanyakan gabungan politik di negara ini hanya melihat isu perpaduan kaum sebagai 'alat' meraih undi, kata penganalisis politik.

Menurut Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata terdapat di kalangan masyarakat Melayu yang tidak berminat untuk terlibat dengan politik.

“Memang terdapat orang Melayu yang tidak berminat dan tidak mahu terlibat dengan mana-mana parti politik kerana kalau kita lihat, pandangan dan kecelikan politik masih rendah.

“Politik diukur dari segi turun mengundi sahaja dan tidak mempraktikkan perpaduan kaum Melayu yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya baru-baru ini yang berkata jutaan orang Melayu tidak berminat dan tidak mahu terlibat dengan mana-mana parti politik.

Selain itu, pensyarah dari Univerisiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Azizuddin Mohd Sani menjelaskan parti politik kini lebih menggunakan perpaduan Melayu sebagai kata manis bagi meraih undi.

Jelasnya, semakin banyak parti politik Melayu, maka tanggapan umumnya akan melihat semakin runtuh penyatuan yang diharapkan itu.

“Segelintir masyarakat Melayu kurang percaya dengan parti politik atas perpaduan kaum kerana ramai ternyata guna alasan tersebut sebagai retorik bagi meraih undi.

“Ini semua atas persepsi umum setiap masyarakat yang merasakan dengan pelbagai parti politik akan hanya meruntuhkan perpaduan tersebut,” katanya.

Tambahnya, parti politik perlu memperkukuhkan perpaduan Melayu daripada menjadikan ia sebagai satu agenda politik.

Pada 23 Mei lalu, bekas orang kuat Umno, Ibrahim Ali mengumumkan penubuhan sebuah lagi parti baru berasaskan Melayu yang dinamakan sebagai Putra.

Tindakan Ibrahim itu bagaimanapun mengundang teguran sinis daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Secara menyindir, Dr Mahathir berkata, lebih banyak parti politik ditubuhkan namun tiada satu pun parti orang Melayu memiliki majoriti besar di negara ini.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob menyifatkan penubuhan lebih banyak parti berteraskan Melayu hanya akan memecahkan lagi kaum tersebut.

Selain itu, Awang Azman turut menyatakan bahawa terdapat kesan baik dalam penubuhan penggabungan parti.

“Ada baiknya gabungan parti seperti PAS dan Umno kerana ia dapat bantu kukuhkan lagi perpaduan Melayu.

“Penggabungan parti ini satu tindakan bagus, namun matlamatnya harus dicapai. Bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir,” katanya.

Azizuddin turut sependapat dengan Azman berkata perkara berkaitan dengan perpaduan Melayu perlu dijelaskan dengan lebih tegas dalam usaha penggabungan dua parti politik itu.

“Penggabungan PAS dan Umno ini perlu dijelaskan lebih tegas berkenaan perpaduan Melayu.

“Jika ia benar jadi, sedikit sebanyak dapat bantu golongan Melayu,"katanya.

Bagaimanapun, penganalisis politik Kartini Aboo Thalib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan pendapat sebaliknya berkenaan penggabungan parti.

“Tidak semua kaum Melayu mahu melihat perpaduan kaum menerusi ahli politik kerana kurang mempercayainya.

“Ahli politik juga harus memahami bahawa memegang amanah rakyat bukan satu perkara yang mudah,” katanya.

Tambah Kartini, perpaduan kaum Melayu juga boleh diusahakan melalui elemen lain seperti sukan, budaya, penggunaan bahasa rasmi di sekolah dan pelbagai usaha kerajaan.

Lihat Komen
ADS