Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-23: Tak semestinya dapat kebenaran PM, kata peguam

LANGSUNG | Perbicaraan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Najib Razak bersambung untuk hari ke-23 hari ini.

Malaysiakini melaporkan perjalanan perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


5 petang: Perbicararan ditangguhkan dan akan disambung semula esok.


4.35petang: Peguam Harvinderjit Singh dan saksi ke-39 Ismee Ismail bertikam lidah untuk seketika apabila persoalan aturan laporan (reporting line) dibangkitkan.

Mengenai laporan pertemuan di antara Nik Faisal Ariff Kamil dan Najib Razak pada 7 Sept 2011, peguam terbabit mencadangkan bahawa ia tidak menyatakan bahawa kebenaran bekas perdana menteri itu diperlukan sebelum dana RM2 bilion dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) digunakan.

Harvinderjit: Semua minit tersebut bercakap mengenai fungsi reporting line kepada perdana menteri (Najib), ia tidak bermakna memerlukan kelulusan beliau.

Ismee: Merujuk kepada "melaporkan kepada saya" (Najib), kamu perlu mendapatkan persetujuan saya (Najib).

Harvinderjit: Atau ia cuma bermaksud menyediakan laporan biasa (kepada Najib).

Ismee: Bukan itu yang dikatakan dalam ID499.

Harvinderjit: Ya, ia cuma melaporkan apa yang sudah dibuat, bukan mendapatkan kebenaran.

Ismee: Jadi, apa fungsi memberikan laporan? Apabila kamu kata, laporkan kepada perdana menteri, apa maksudnya?

Harvinderjit: Itu adalah persepsi kamu bahawa ia memerlukan kebenaran perdana menteri.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Tetapi ia merisikokan keperluan (SRC) untuk mendapatkan kelulusan 1MDB (sebagai pemegang saham tunggal SRC pada 2011).

Ismee bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa Lembaga Pengarah SRC perlu mendapatkan kelulusan daripada 1MDB sebagai pemegang saham tunggal syarikat berkenaan ketika itu.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam terbabit bahawa sebarang tindakan yang diarahkan perlu selaras dengan aspirasi syarikat, iaitu mendapatkan kelulusan 1MDB.


Lembaga SRC tak tahu pinjaman RM2 bilion disalur ke akaun AmBank

3.17 petang: Ismee Ismail mengaku bahawa Nik Faisal Ariff Kamil - pengarah SRC International ketika itu - tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah syarikat bahawa dia meminta KWAP menyalurkan (drawdown) pinjaman RM2 bilion ke akaun AmBank dengan nombor akhir 736.

Saksi ke-39 pendakwaan itu juga memberitahu sebelum ini lembaga pengarah SRC International tidak tahu tentang kewujudan akaun itu yang didaftarkan atas nama syarikat.

Harvinderjit: Tiga hari selepas mesyuarat dengan lembaga pengarah SRC International pada Ogos 2011, Nik Faisal menandatangani surat kepada KWAP untuk menyalurkan (drawdown) pinjaman...ke akaun 736.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Kita ke arah pelanggaran yang lebih serius. Lembaga pengarah (SRC International) tidak pernah diberitahu drawdown untuk memasuukan RM2 bilion ke akaun yang mereka tak tahu (kewujudannya)

Ismee: Nampaknya begitu.

Harvinderjit: Saya dapat lihat yang anda terganggu...Lihat entri untuk Ogos 2011 (dalam kenyataan akaun AmBank) atas nama SRC International - RM2 bilion telah dikredit ke akaun ini - melalui empat bahagian, setiap bahagian RM500 juta - pada 29 Ogos 2011. Ini sesuatu yang serius, yang pada hari sama, keseluruhan RM2 bilion itu juga dikeluarkan.


Lembaga SRC tak tahu syarikat ada akaun di AmBank

3 petang: Lembaga pengarah SRC International tidak tahu tentang kewujudan akaun AmBank yang didaftar atas nama syarikat itu pada 2011, kata saksi kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, Ismee Ismail berkata lembaga pengarah tidak pernah mempunyai kawalan terhadap akaun, kerana mereka tidak tahu tentangnya.

Harvinderjit: Dan akaun 736 ini (akaun dengan nombor terakhir '736'), selama anda menjadi pengarah (SRC International), tidak pernah berada bawah kawalan lembaga pengarah?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Jika lembaga pengarah tidak tahu, pastinya ia bukan dikawal lembaga pengarah, betul?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Dengan tidak mendedahkan kewujudannya, langkah untuk menjamin kawalan lembaga pengarah terhadap akaun milik SRC telah dilangkaui, betul?

Ismee: Ya.

Sebelum keterangan itu, mahkamah diberitahu bahawa akaun AmBank dengan nombor berakhir 736 telah dibuka pada Januari 2011, dengan hanya dua individu sebagai penandatangan, iaitu bekas pengarahnya Nik Faisal Ariff Kamil dan Vincent Koh Beng Huat.

Ketika itu, SRC International belum memiliki lembaga pengarah. Nik Faisal kemudian menjadi pengarah urusan dan CEO syarikat ketika lembaga pengarah dibentuk pada Ogos 2011.


Nik Faisal tak beritahu tentang surat minta jaminan kerajaan

12.50 tengah hari: Nik Faisal Ariff Kamil tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah SRC International berhubung suratnya kepada Kementerian Kewangan untuk meminta jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada Ogos 2011, kata Ismee Ismail.

Bekas pengerusi SRC International itu berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh.

Menurut Ismee, Nik Faisal tidak mendedahkan suratnya ketika mesyuarat pertama lembaga pengarah tidak lama selepas surat itu dihantar kepada kementerian.

Ia menurut dokumen yang diserahkan kepada mahkamah sebagai bahan bukti.

Harvinderjit: Saya akan tunjuk satu lagi surat. (Bertarikh) 12 Ogos 2011, sekali lagi oleh Nik Faisal, ditandatanganinya sebagai pengarah urusan dan CEO. (Surat dialamatkan) kepada Kementerian Kewangan meminta jaminan kerajaan untuk (pinjaman) RM2 bilion.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Anda tak pernah diberitahu tentangnya?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: (Anda) juga tak diberitahu tentang surat 12 Ogos (oleh Nik Faisal kepada KWAP)?

Ismee: Tidak.

Harvinderjit: Ini selepas anda sertai lembaga pengarah SRC?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Bukankah ia patut diberitahu Nik Faisal ketika mesyuarat lembaga yang pertama?

Ismee: Sepatutnya.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan untuk rehat tengah hari dan bersambung semula pada jam 2.30 petang.


Nik Faisal berbohong kepada lembaga SRC? Ya, kata saksi

12.35 tengahari: Peguam bela Najib Razak, Harvinderjit Singh, mengasak bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail mengenai sama ada pengarah syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil telah berbohong kepada lembaga pengarah syarikat (BOD)

Ini berlaku semasa pemeriksaan balas peguam terhadap saksi ke-39 mengenai dakwaan Nik Faisal berhubung BOD SRC International mengenai perjanjian kerjasama antara Aabar Investment dan SRC International.

Harvinderjit: Lembaga pengarah (SRC International) diberitahu (oleh Nik Faisal) tentang JV (usaha sama yang melibatkan Aabar Investment) yang timbul susulan pertemuan antara Najib dan ketua Abu Dhabi, dalam surat pada bulan Jun (2011).

SRC International memohon pinjaman (RM3.85 bilion) (daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) yang tiada kaitan dengan perkongsian Aabar.

Nampaknya (itu) Nik Faisal berbohong kepada lembaga pengarah?

Ismee: Ya. Malah lembaga pengarah juga tidak diberitahu saya telah dicalonkan sebagai pengerusi (SRC International).

Harvinderjit: Surat ini bertarikh 3 Jun, tidak ada surat daripada PM (perdana menteri ketika itu, Najib) yang meluluskan Nik Faisal (dilantik sebagai) pengarah SRC pada bulan Jun (2011).

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Kamu bersetuju bahawa apabila kamu masuk (ke SRC International) sebagai pengarah pada bulan Ogos 2011, sudah pasti lembaga dimaklumkan sebelum ini bahawa syarikat (SRC International) sudah komited terhadap pinjaman RM3.95 bilion (dari KWAP )?

Ismee: Ya.

Ismee juga setuju apabila Harvinderjit mengajukan bahawa Nik Faisal tidak memberitahu lembaga pengarah SRC International dia telah meminta pinjaman RM3.95 bilion daripada Najib bagi pihak syarikat, melalui surat daripada SRC kepada Najib bertarikh 3 Jun 2011.

Dia setuju bahawa lembaga pengarah tidak diberitahu berkenaan permohonan pinjaman itu ketika mesyuarat lembaga pertama pada Ogos 2011.


'Lembaga pengarah SRC tak pasti kebenaran urus niaga M'sia-Abu Dhabi'

10.30 pagi: Ismee Ismail setuju bahawa lembaga pengarah SRC International tidak pasti dengan tahap kebenaran (veracity) cadangan usaha sama melibatkan Aabar Investments PJS yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Aabar Investments PJS adalah subsidiari milik International Petroleum Investments Company (IPIC) - entiti pelaburan milik kerajaan Abu Dhabi.

Harvinderjit merujuk kepada minit mesyuarat pada 2011 yang mana pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil memberitahu lembaga pengarah berkenaan cadangan usaha sama, selepas mesyuarat peringkat tinggi antara wakil Malaysia dan Abu Dhabi.

Ia membawa kepada permohonan SRC untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP.

Harvinderjit: Ada mesyuarat pada Jun 2011 di mana kedua-dua pihak, Malaysia dan Abu Dhabi, berbincang berkenaan sumber strategik. Ia dirujuk kepada Najib.

Ismee: Ya

Harvinderjit: Sejak itu, ada pelaksanaan dan penyaluran (disbursement) yang pantas untuk geran (kepada SRC International). Ia kemudian menunjukkan bagaimana Nik Faisal memberitahu lembaga pengarah berkenaan perbincangan peringkat tinggi oleh wakil Malaysia dan Abu Dhabi, kemudian syarikat ini (Aabar-BVI) diwujudkan (incorporated). (Ini melibatkan) usaha sama yang dicadangkan. Geran dan proses (pinjaman daripada) KWAP bergantung kepada urus niaga dengan Aabar Investment ini.

Ismee: Ya.

Ismee juga setuju dengan kenyataan Harvinderjit bahawa Nik Faisal tidak menunjukkan sebarang dokumen lain kepada lembaga pengarah SRC International sebagai bukti kepada usaha sama tersebut.

Harvinderjit: Lembaga pengarah menganggap (usaha sama) ini ialah antara kerajaan dengan kerajaan. Ia menghentikan pertanyaan lanjut berkenaannya.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Sama ada ia benar atau tidak, atau jika ada mana-mana jabatan (kerajaan) mengendalikan urus niaga Aabar, anda tidak tahu.

Ismee: (Mengangguk)

Harvinderjit: Dia (Nik Faisal) memberi tanggapan yang dia lebih tahu.

Ismee: Ya.


'Lembaga pengarah 1MDB tak tahu boleh jamin pinjaman KWAP'

10 pagi: Lembaga pengarah 1MDB tidak diberitahu tentang wujudnya pilihan bagi mendapatkan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk SRC International dengan jaminan korporat daripada 1MDB, selain jaminan kerajaan.

Ismee Ismail, yang juga bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB, berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh.

Dia berkata lembaga pengarah 1MDB tidak tahu yang KWAP menawarkan pinjaman kepada SRC International berdasarkan jaminan korporat daripada 1MDB.

Dia kemudian setuju dengan kenyataan Harvinderjit bahawa lembaga pengarah mungkin memilih pilihan itu jika tahu tentangnya, berbanding menggunakan jaminan kerajaan untuk mendapat pinjaman.

Harvinderjit: Apa yang saya nak kata ialah ada pilihan untuk 1MDB menjadi penjamin. Penting untuk lembaga pengarah maklum bahawa 1MDB menawarkan diri sebagai penjamin. Dan jaminan kerajaan hanyalah plan B. Anda kata tak ingat sama ada lembaga pengarah 1MDB diberitahu tentang (pilihan) jaminan korporat ini. Hujah saya ialah ia boleh digunakan jika anda tahu (tentangnya)?

Ismee: Ya.

Sebelum ini, saksi-saksi lain yang terlibat dalam proses meluluskan pinjaman RM4 bilion oleh KWAP kepada SRC International berkata panel pelaburan badan itu pada mulanya memutuskan untuk menawarkan pinjaman kepada 1MDB, berbanding memberikannya secara terus kepada SRC International.

Selain pengarah bukan eksekutif 1MDB, Ismee juga pernah menjadi pengerusi SRC International.

SRC International ialah bekas subsidiari 1MDB.


9.19 pagi: Najib masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.

Pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah SRC International Ismee Ismail oleh peguam Harvinderjit Singh diteruskan.


9.05 pagi: Berpakaian sut hitam dengan tali leher biru gelap, bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob masuk ke mahkamah dan duduk di galeri awam menunggu perbicaraan bermula.

Turut ada ialah ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan peguam-peguam lain, termasuk DPP V Sithambaran dan anggota pendakwaan lain.

Shafee dilihat bertegur sapa dengan pasukan pembelaan dan pendakwaan.


8.57 pagi: Tertuduh, Najib Razak masuk ke mahkamah dan dilihat berbincang dengan peguamnya Yusof Zainal Abiden di galeri awam.

Turut dilihat ialah sebuah buku bertajuk The Laws of Human Nature oleh Robert Greene, serta beberapa kusyen untuk bahagian belakang bekas perdana menteri itu.


Perbicaraan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap Najib Razak melibatkan SRC International masuk hari ke-23 hari ini, dan sebesar mana kawalan bekas perdana menteri terhadap syarikat itu bakal menjadi persoalan utama.

Apabila pemeriksaan balas terhadap bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail bersambung hari ini, tumpuan akan diberikan terhadap keterangan terdahulu saksi ke-39 itu berkenaan peranan tertuduh antaranya dalam pelantikan pengarah dan urus niaga syarikat.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ishak Mohd Yusoff semalam, Ismee memberitahu mahkamah bahawa pindaan penting - kemasukan Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat - memberikan kuasa kepada Najib dalam setiap aspek pentadbiran syarikat itu.

Ketika disoal oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, Ismee mengaku dia tidak melihat sendiri Najib menandatangani minit mesyuarat agung tergempar pada 23 April 2012, yang membawa kepada kelulusan Artikel 117.

Pindaan itu dikatakan membawa kepada pelantikan Najib sebagai penasihat emeritus SRC International - yang ketika itu telah menjadi entiti minit penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Artikel 117 menyatakan lembaga pengarah syarikat perlu menimbang secara serius dan melaksanakan nasihat Najib berkenaan perjalanan syarikat.

Semalam, Harvinderjit dan Ismee turut bertembung dalam peranan kelulusan Najib dalam pelantikan pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Peguam itu berulang kali bertanya sama ada persetujuan Najib hanyalah bermaksud mengesahkan secara rasmi pelantikan yang dibuat lembaga pengarah, sementara Ismee bertegas lampu hijau yang diberi Najib penting untuk melantiknya.

Harvinderjit juga memberi tumpuan kepada hal sama semalam, dan Ismee mengakui lembaga pengarah syarikat itu tidak pernah mendapatkan pengesahan sama ada Nik Faisal - yang sentiasa ada ketika mesyuarat syarikat - memang bertindak sebagai perantara syarikat terbabit dengan Najib.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS