Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video intim: Bukan budaya politik kita - Nurul Izzah
Diterbitkan:  Jun 12, 2019 3:41 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Bekas naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan hari ini sebagai paling menyedihkan apabila negara kembali terpalit dengan politik kotor melalui penyebaran video intim yang dikaitakan dengan seorang menteri.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, penyebaran video berkenaan adalah satu bentuk kegilaan dengan tuduhan jahat untuk menjatuhkan musuh politik.

"Ia tidak mempunyai tujuan lain daripada mematikan karier, reputasi dan pemimpin dengan menggunakan serangan peribadi dan fitnah yang kotor.

"Kita mesti bersatu dalam mengutuk perkara itu dan perlu memisahkan diri daripada menyebarkannya (fitnah)," katanya dalam satu kenyataan.

Nurul Izzah turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga pihak yang menjadi mangsa fitnah berkenaan.

Semalam Malaysiakini melaporkan satu rakaman video intim membabitkan dua lelaki ditularkan secara sistematik kepada beberapa wartawan dan anggota parti politik.

Melalui video itu salah seorang lelaki terbabit didakwa menteri kabinet.

Beberapa wartawan Malaysiakini dipelawa menyertai dua kumpulan WhatsApp yang dinamakan sebagai “Jemputan Hari Raya ###” dan klip video tersebut dikongsikan di situ.

Awal pagi tadi, lelaki yang dikaitkan dengan video intim bersama seorang lagi lelaki didakwa sebagai menteri kabinet membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi tersebut.

Haziq Abdullah Abdul Aziz yang juga setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar Md Akin itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Sementara itu Nurul Izzah berkata, politik kotor itu tidak sepatutnya berlaku dan sepatutnya semua pihak perlu fokus kepada perkara lebih penting untuk negara.

"Mari kita fokus pada perkara yang lebih penting. Untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

"Toksik jahat ini bukan sebahagian daripada budaya politik kita," katanya.

Lihat Komen
ADS