Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-24: Penasihat atau pemegang saham? Perbicaraan Najib ditangguh awal

LANGSUNG | Perbicaraan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Najib Razak bersambung untuk hari ke-24 hari ini.

Malaysiakini melaporkan perjalanan perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

12.38 tengah hari: Perbicaraan kes Najib Razak terhenti awal untuk hari ini apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkannya.

Menurut pasukan pembelaan, mereka perlu memeriksa apa yang menurut mereka sebagai pertentangan dalam keterangan lisan bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail.

Ia selepas Ismee - saksi ke-39 pendakwaan - berkata hari ini bahawa lembaga pengarah SRC International mengikut nasihat resolusi pemegang saham berbanding Najib selaku penasihat emeritus syarikat itu.


Pendakwaan dan pembelaan masuk kamar hakim

12.25 tengah hari: Anggota pendakwaan dan pembelaan dilihat masuk ke kamar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ia dipercayai ekoran dakwaan kenyataan bertentangan oleh Ismee berkenaan sama ada lembaga pengarah SRC International mengikut nasihat Najib atas kapasitinya sebagai penasihat emeritus atau pun pemegang saham.

Pada 2011 dan 2012, Najib ialah perdana menteri dan juga menteri kewangan.

Isu itu timbul apabila kenyataan Ismee di mahkamah bertentangan dengan kenyataan saksinya yang diambil oleh SPRM sebelum ini.


Saksi: Lembaga SRC bertindak atas nasihat Najib

12.07 tengah hari: Dalam kenyataannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lembaga pengarah syarikat bertindak atas nasihat Najib Razak atas kapasitinya selaku pemegang saham, kata Ismee.

Ia di sebalik kenyataan bertulisnya yang diberi kepada mahkamah sebelum ini - yang menyatakan lembaga pengarah bertindak atas nasihat Najib atas kapasitinya sebagai penasihat emeritus SRC International.

Perbezaan itu berkenaan kenyataan Ismee di mahkamah - bahawa lembaga pengarah mengambil nasihat Najib atas kapasitinya sebagai pemegang saham. 

Ia berbeza dengan kenyataan saksinya yang sama dengan kenyataan kepada SPRM sebelum ini - iaitunasihat najib diikut atas kapasitinya sebagai penasihat emeritus.

Harvinderjit: Saya katakan yang kenyataan anda kepada SPRM tidak menyatakan lembaga pengarah bertindak atas arahan perdana menteri sebagai penasihat emeritus (SRC International)?

Ismee: Tak setuju. Saya kata kami bertindak atas pemegang saham (iaitu Najib, yang ketika itu juga menteri kewangan).

Harvinderjit kemudian meminta perbicaraan dihentikan sekejap agar pasukan pembelaan dapat memutuskan langkah seterusnya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkannya.


'Ada kala saya tak faham apa yang anda katakan'

10.35 pagi: Ismee Ismail bertegas bahawa lembaga pengarah SRC International tetap memiliki budi bicara untuk tidak mengikut arahan daripada pemegang saham utama jika ada keraguan terhadapnya.

"Walaupun kami perlu ikut (arahan pemegang saham), kami ada pilihan jika ada sesuatu yang tak kena. Lembaga pengarah akan memutuskan (sama ada wujud keraguan)," kata bekas pengerusi SRC International itu ketika ditanya peguam Harvinderjit Singh.

Ketika Harvinderjit bertanya tentang piawaian yang digunakan untuk menentukan perkara itu, Ismee berka ia bukan sesuatu yang boelh dijelaskan di atas kertas.

Katanya, lembaga pengarah akan membuat pertimbangan, termasuk berkenaan cara melaksanakan arahan pemegang saham dengan betul.

Harvinderjit: Saya tak faham apa yang anda katakan.

Ismee: Ada kala saya tak faham apa yang anda katakan.

Jawapan Ismee itu membuatkan mereka yang hadir di mahkamah ketawa.


Ismee kata tak jumpa Najib berkenaan keraguan dalam akaun SRC

10.15 pagi: Ismee Ismail berkata dia tidak berjumpa dengan Najib berkenaan keraguan dalam status audit akaun SRC International kerana dia perlu menyiasat perkara itu terlebih dulu.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, bekas pengerusi SRC International yang menjadi saksi ke-39 pendakwaan itu tidak bersetuju dengan pandangan Harvinderjit bahawa dia perlu melaporkan perkara itu kepada Najib.

"Saya tak setuju. Saya perlu siasat non-filing, saya hubungi juruaudit, Deloitte berkenaan sebab penangguhan. Mereka kata beberapa pengesahan audit tidak diterima daripada pengurusan (SRC).

"Saya ambil tanggungjawab dan tanya berkenaan tunggakan pengesahan audit, mereka (Deloitte) memberikan saya (maklumat) yang antaranya lain berkenaan bank tempatan," katanya.

Harvinderjit Singh

"Ia ada di meja saya selama dua minggu. Saya tanganinya satu persatu, saya ambil tanggungjawab untuk tutup akaun.

"Mereka kata Nik Faisal tidak memberitahu (tentang perkara itu) kerana sibuk dengan perkara lain," katanya.

Ismee berkata dia mahu memastikan akaun-akaun berkaitan ditutup kerana merasa bertanggungjawab terhadap perkara itu.

Dia juga berkata tidak melanjutkan perkara itu kepada Najib kerana masalah telah pun diselesaikan.


Najib bos saya, kata bekas pengerusi SRC

10 pagi: "Dia (Najib) pada dasarnya ialah bos saya, ia secara tersirat (that is implied)," kata Ismee Ismail berkenaan pengaruh Najib terhadap SRC International pada 2011.

Syarikat itu merupakan subsidiari 1MDB.

Saksi ke-39 pendakwaan itu membuat pengakuan tersebut apabila ditanya peguam Harvinderjit Singh berkenaan keperluan untuk SRC International mengikut pematuhan korporat dengan hanya mengambil kira arahan daripada pemegang saham tersenarai, 1MDB.

"Anda perlu ambil kira bagaimana 1MDB dilahirkan.

"Dalam pemikiran kami ketika itu, kita ada penasihat emeritus yang juga perdana menteri, dan (dalam) 1MDB), (maka) secara teknikalnya dia bos saya.

"Walaupun saya CEO Tabung Haji (ketika itu), secara dasarnya dia (Najib) adalah bos saya, that is implied," katanya kepada Harvinderjit.


9.45 pagi: Perbicaraan diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap Ismee Ismail.


9.38 pagi: Muhammad Shafee masuk ke mahkamah selepas menghadiri sebutan kesnya.

Turut dilihat dalam mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan anggota pendakwaan dan pembelaan lain yang sedang menunggu perbicaraan diteruskan.


9.11 pagi: Perbicaraan bermula dan Najib masuk ke kandang tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah, menghadiri sebutan kes lain di depan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Aizuddin kemudian meminta perbicaraan tidak dimulakan sehingga 9.45 pagi untuk menunggu Shafee.

Nazlan: Mahkamah tidak diberitahu tentang perkara ini semalam.

Aizudddin: Kami meminta maaf kerana terlepas (sebutan kes dengan hakim Collin) dalam diari.

Nazlan kemudian membenarkan penangguhan sementara sehingga pukul 9.45 pagi.

Sebutan kes yang dihadiri Shafee adalah berkenaan dakwaan pengubahan wang haram terhadapnya melibatkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib.

Harvinderjit Singh adalah peguam Shafee dalam kes itu.


8.57 pagi: Najib masuk ke mahkamah. Beliau memakai sut berwarna biru dan memegang sebuah buku bertajuk The Laws of Human Nature oleh Robert Greene.

Beliau dilihat berbincang dengan peguam Yusof Zainal Abiden sementara menunggu perbicaraan bermula.


Sebesar mana peranan dimainkan CEO SRC International ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil berkenaan pinjaman RN2 bilion oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada syarikat itu?

Ini merupakan isu yang mungkin diteroka pasukan pembelaan Najib Razak apabila persoalan balas diteruskan dengan bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail hari ini, dalam perbicaraan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Najib Razak melibatkan bekas subsidiari 1MDB itu.

SRC International menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada awal 2012.

Apabila perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan hari ini, pasukan pembelaan mungkin akan mendapatkan lebih banyak keterangan lisan daripada Ismee, berkenaan hubungan Nik Faisal dengan lembaga pengarah SRC International.

Ketika disoal peguam Harvinderjit Singh semalam, Ismee memberitahu bahawa Nik Faisal - yang kini hilang dan sedang diburu pihak berkuasa - memperdaya dan tidak memberitahu lembaga pengarah berkenaan perkara penting berhubung pengurusan kewangan syarikat.

Antaranya kewujudan akaun Bank AmIslamic dengan nombor akaun berakhir dengan 736, yang didaftar menggunakan nama SRC International. Pinjaman RM2 bilion pertama daripada KWAP disalurkan ke akaun itu pada 29 Ogos 2011 tanpa pengetahuan lembaga pengarah.

SRC menerima pinjaman RM2 bilion kedua daripada KWAP pada awal 2012.

Menurut Ismee lagi, Nik Faisal juga tidak memaklumkan lembaga pengarah bahawa dia pada mulanya cuba mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion untuk SRC International melalui surat kepada Najib bertarikh 3 Jun 2011.

Sebelum KWAP meluluskan pinjaman RM2 bilion pertama pada Ogos 2011, SRC International telah membuat permohonan rasmi untuk meminjam RM3.95 bilion daripada badan itu.

Lembaga pengarah syarikat itu hanya diwujudkan pada Ogos 2011. Pada tempoh sama, Ismee secara rasmi menjadi pengerusi syarikat. Sebelum itu, seawal Januari 2011, syarikat itu hanya ada Nik Faisal dan Vincent Beng Huat Kot sebagai pengarah.

Pasukan pembelaan Najib mungkin akan bertanya lebih lanjut kepada Ismee berkenaan peranan Beng serta empat penandatangan bagi akaun 736 itu, iaitu Nik Faisal, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Terence Geh Choh Heng dan Radhi Mohamed. Ketika itu, Shahrol Azral ialah CEO 1MDB, manakala Terence Geh menjadi pengarah eksekutif kewangan dan Radhi pula ketua pegawai kewangan (CFO).

Lihat Komen
ADS