Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengerusi SRC: CEO Nik Faisal bohong tentang audit 2013

KES NAJIB | Bekas pengarah dan CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil berbohong kepada lembaga pengarah bahawa akaun 2013 syarikat itu telah diaudit, dakwa saksi ke-39 Ismee Ismail di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, di sebalik perkara itu dan keraguan terdahulu berkenan tindakan Nik Faisal, Ismee yang merupakan bekas pengerusi SRC International mengakui dia tidak merujuk perkara itu kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, atau Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Semalam Ismee memberitahu mahkamah Nik Faisal berbohong kepada lembaga pengarah dan tidak memaklumkan berkenaan perkara penting berkaitan pengurusan kewangan syarikat.

Hari ini dia berkata Nik Faisal memperdaya lembaga pengarah untuk menganggap akaun syarikat untuk 2013 telah diaudit.

Ketika pemeriksaan balas, peguam Harvinderjit Singh mengajukan bahawa Ismee - selaku pengerusi - boleh membangkitkan perkara itu kepada pemegang saham, iaitu 1MDB dan MOF Inc.

Ia selepas Harvinder menunjukkan bahawa Ismee "ada pengaruh yang cukup" bagi meminta secara terus bertemu Najib.

Bagaimanapun Ismee menafikan perkara itu cukup serius sehingga perlu memberitahu pihak lain.

Selasa lalu, mahkamah diberitahu Najib ketika itu dilantik sebagai penasihat emeritus SRC International.

Harvinderjit: Anda cukup berpengaruh untuk meminta pertemuan dengan PM (Najib)?

Ismee: Saya boleh minta untuk bertemu PM.

Harvinderjit: Anda ada kebolehan untuk berhubung dengan PM atau MOF Inc?

Ismee: Ya.

Harvinderjit:... Anda rasa tidak perlu berurusan dengan MOF Inc atau PM secara terus?

Ismee: Bagi MOF Inc, saya tak lihat sebab (untuk berjumpa). Berkenaan PM, saya tak ada sebab untuk meragui (arahan) daripadanya.

Harvinderjit: Apa saja yang tersirat berdasarkan apa yang Nik Faisal beritahu anda?

Ismee: Apa yang dia beritahu kami (lembaga pengarah).

Harvinderjit: Adakah anda setuju pada satu tahap masa, menjadi kewajiban anda untuk membagkitkan perkara itu sama ada kepada MOF Inc atau PM secara terus, jika anda ada tanggapan Nik Faisal tidak berkata benar?

...Dalam fikiran anda, CEO (Nik Faisal) berbohong kepada lembaga pengarah, (apabila) akaun tidak diaudit, itu tidak cukup serius untuk dibawa kepada pemegang saham?

Ismee: Saya tak setuju.

Ismee kemudian setuju apabila ditanya sama ada Nik Faisal menandatangani - bagi pihak lembaga pengarah - resolusi bahawa akaun SRC International 2013 telah diaudit.

Katanya, dia kemudian membaca laporan akhbar bahawa akaun syarikat telah diaudit. Bagaimanapun, Ismee berkata dia memilih untuk menyiasat perkara itu sendiri dan tidak membawanya kepada Najib.

Harvinderjit: Menjadi kewajiban kepada anda sebagai pengerusi, yang ia akan memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia untuk membangkitkan perkara itu kepada PM?

Ismee: Tak setuju. Saya perlu siasat non-filing (kenyataan kewangan) dan saya menghubungi (juruaudit) Deloitte berkenaan penangguhan. Mereka kata tidak menerima beberapa pengesahan audit daripada pengurusan.

Saya mengambil tanggungjawab dan tanya pengesahan mana yang tertunggak. Mereka (Deloitte) memberi saya (maklumat) antaranya berkenaan urusan dengan bank tempatan. Ia ada di meja saya selama dua minggu. Saya tanganinya satu persatu, saya ambil tanggungjawab untuk tutup akaun.

Harvinderjit: Dalam fikiran anda, CEO (Nik Faisal) menipu lembaga pengarah dan akaun tidak diaudit, adakah ia tidak cukup serius untuk dibangkitkan kepada pemegang saham?

Ismee: Tak setuju.

Harvinderjit: Dalam fikiran anda, anda cukup ambil berat untuk bercakap dengan perdana menteri secara spesifik tetapi tidak bangkitkan (keraguan terhadap Nik Faisal) kepada lembaga pengarah, pemegang saham, MOF In atau PM?

Ismee: (Saya tak bangkitkan) sebab masalah telah diselesaikan... Saya tak boleh kata setuju atau tidak.

Serbuan polis ke ibu pejabat Deloitte

Ismee kemudian berkata dia diberitahu sebab Nik Faisal tidak memaklumkan berkenaan status sebenar audit ialah kerana dia sibuk dengan perkara lain.

Terdahulu, Deloitte Malaysia dilaporkan berhenti daripada menjadi juruaudit 1MDB pada 2016 - firma ketiga selepas Ernst & Young dan KPMG.

Deloitte menjadi juruaudit pada 2013 dan 2014, setelah 1MDB mengatakan KPMG tidak dapat menghabiskan akaun 2013 syarikat itu.

Menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), 1MDB menamatkan khidmat KPMG selepas juruaudit bertanya beberapa soalan berhubung laporan tahunan 2013.

Pada Januari lalu, Suruhanjaya Sekuriti berkata pihaknya sedang menyiasat Deloitte berhubung audit 1MDBnya. Polis pula menyerbu pejabat firma itu bulan lalu.

Selain berkenaan audit 2013, Ismee dalam keterangannya turut berkata Nik Faisal tidak memaklumkan kewujudkan akaun AmIslamic Bank yang didaftarkan atas nama SRC International, kepada lembaga pengarah.

Pinjaman RM2 bilion pertama dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dimasukkan ke akaun itu pada 29 Ogos 2011, tanpa pengetahuan lembaga pengarah.

Pinjaman RM2 bilion pula diterima pada awal 2012.

SRC International pada mulanya merupakan subsidiari 1MDB sebelum dipindah ke MOF Inc pada Februari 2012.

Nik Faisal - yang kini menghilangkan diri dan sedang diburu pihak berkuasa - juga didakwa tidak memberitahu lembaga pengarah berkenaan tindakannya meminta pinjaman RM3.95 bilion menerusi surat kepada Najib bertarikh 3 Jun 2011.

Najib berdepan tujuh dakwaan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta yang melibatkan SRC International.

Hari ini merupakan hari ke-24 perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Lihat Komen
ADS