Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur karnival pertikai imigresen tahan 11 individu

Penganjur Karnival Global Indian Festival mempertikaikan tindakan Jabatan Imigresen menahan 11 individu dalam satu operasi bersepadu dijalankan di Pusat Pameran Mid Valley minggu lalu.

Penganjur karnival, Agenda Suria Communication memberitahu, tujuh peniaga yang mengambil bahagian dalam karnival berkenaan memiliki pas Melawat Profesional (PVP), manakala empat yang lain memiliki visa pelawat.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya peniaga luar negara dalam karnival ini dituduh sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Daripada 16 individu ditahan oleh Jabatan Imigresen, tujuh adalah pemegang pas PVP, empat merupakan saudara-mara kepada peniaga luar negara yang melawat ke karnival tersebut dengan visa pelawat dan lima lagi tidak ada kena mengena dengan karnival ini," kata pengasas Agenda Suria, S Jaggarao dalam sidang media di Hotel Cititel, Midvalley hari ini.

Jagganrao berkata, pihaknya telah menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapat penjelasan dan masih menunggu jawapan.

Pada 7 Jun lepas, Jabatan Imigresen menahan seramai 16 individu dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu selepas menerima laporan yang mendakwa karnival itu dianjurkan tanpa lesen.

Laporan polis yang dibuat oleh Setiausaha Pertubuhan Peniaga-Peniaga Tekstil dan Barang-Barang Am India Malaysia (MITA), R Maheswary itu mendakwa peniaga berkenaan menggunakan PATI sebagai pekerja.

Bagaimanapun, Jaggarao berkata karnival itu telah mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak imigresen sendiri.

Menurut Jagganroa, pihaknya hanya menyediakan platform bagi peniaga dari luar untuk menjalankan perniagaan tanpa niat meminggirkan peniaga tempatan.

"Saya juga sedia memberi diskaun kepada peniaga tempatan yang berminat untuk menyertai karnival kami pada masa akan datang,"kata beliau.

Jelasnya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan penganjuran karnival itu sepatutnya datang berjumpa pihaknya bagi mencari jalan penyelesaian.

Sehubungan itu satu laporan polis juga telah dibuat berhubung perkara itu.

Karnival Global Indian Festival diadakan sejak tahun 2003 menjelang sambutan Deepavali.

Malaysiakini sedang menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan pengesahan.

Lihat Komen
ADS