Paling Popular
Terkini

Polis menggali semula kubur Orang Asli suku Batek, Romin Hamdan, di Kampung Kuala Koh yang disahkan meninggal dunia pada 29 Mei lalu akibat radang paru-paru untuk dibedah siasat buat kali kedua.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, proses penggalian itu dibuat hari ini dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang pada jam 3.40 petang tadi.

Menurutnya, jenazah Romin sebelum ini sudah dilakukan bedah siasat oleh pihak hospital dan dikebumikan di perkuburan Islam kawasan kampung tersebut.

"Hari ini kita keluarkan semula mayatnya untuk dibedah siasat lebih lanjut oleh pihak hospital," katanya pada sidang media di Pusat Operasi di Felda Aring 10, hari ini.

Romin adalah salah seorang daripada dua penduduk muslim suku Bateq di Kuala Koh yang meninggal dunia sebelum ini dan kematian mereka dilaporkan kepada pihak polis.

Kedua-dua mereka sebelum ini disahkan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru.

Selain itu terdapat 12 lagi penduduk suku itu yang dikatakan meninggal dunia akibat penyakit yang belum diketahui puncanya dan perkembangan terbaru menjadikan lapan daripadanya sudah dikesan.

"Tiga pasukan pencari telah masuk dan hasil daripada maklumat diterima, kita jumpa empat lagi (kubur) di sekitar kawasan Kuala Koh.

"Jadi setakat ini lapan orang kita jumpa dan kita buat tandaan setiap lokasi penemuan tersebut. Buat masa ini kita tak keluarkan kelapan-lapan mayat tersebut, " kata Mohd Taufik.

Tambah beliau, empat mayat yang dikesan hari ini ditemui di lokasi berlainan yang memerlukan masa antara 15 minit hingga tiga jam dengan berjalan kaki.

Katanya, operasi akan disambung esok bagi mengesan baki empat lagi kedudukan mayat.

"Esok empat lagi mayat perlu dicari dan ditandakan. Mayat keempat-empat ini mungkin kedudukannya jauh sedikit ke daripada kawasan perkampungan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS