PAS syor tubuh suruhanjaya bantu IPTS bumiputera
Kerajaan perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi mengkaji kegagalan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera di negara ini, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.
Kerajaan perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi mengkaji kegagalan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera di negara ini, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji mengapa begitu banyak IPTS Bumiputera yang ditutup sedangkan ia baru diperkenalkan beberapa tahun lalu.
Menurutnya, suruhanjaya terbabit juga boleh mengkaji pihak manakah yang mengaut keuntungan daripada penubuhan ribuan IPTS di seluruh negara.
Beliau berkata, adakah tujuan utama penubuhan IPTS adalah untuk memperniagakan pendidikan negara yang menguntungkan segelintir pihak sedangkan ratusan ribu pelajar Melayu menjadi mangsa.
"Kita tidak mahu kerana masalah kewangan, beratus IPTS milik Bumiputera menjadi mangsa. Jika tidak diatasi orang akan melihat ia kegagalan orang Melayu mengendalikan pusat pengajian.
"Apa yang berlaku ialah kegagalan pelajar Bumiputera mendapat pinjaman pelajaran untuk memasuki IPTS. Mengapa kerajaan tidak memberi wang kepada pelajar terbabit.
"Apa tanggungjawab kerajaan? Mengapa Mara tidak mahu memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar IPTS? Dan apa tujuan kerajaan menubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika gagal memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar IPTS?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa 40 dari 146 IPTS Bumiputera kini tenat dan mungkin terpaksa gulung tikar kerana kekurangan pelajar, kewangan dan infrastruktur yang serius.
Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera, Prof. Datuk Dr Ismail Md Salleh berkata, masalah itu berlaku kerana Mara dan PTPTN memperketatkan syarat pinjaman kepada pelajar mulai sesi pengajian 2005/2006.
Katanya, berikutan itu pihaknya telah menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi dengan mengemukakan cadangan bagi memulihkan keadaan itu. Antara cadangan itu ialah kementerian menempatkan sekitar 400,000 pelajar ke IPTS Bumiputera setiap tahun.
Salahuddin berkata, kerajaan menggalakkan usahawan bumiputera mewujudkan IPTS tetapi membiarkannya apabila mereka menghadapi masalah kekurangan pelajar.
Beliau juga mahu Mara memberi semula pinjaman kepada pelajar supaya mereka dapat memasuki IPTS kerana ini merupakan tanggungjawab institusi itu.
Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS mahu kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke 9 memberi peruntukan khas kepada IPTS Bumiputera supaya mereka dapat beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata, ini kerana pendidikan adalah satu pelaburan jangka panjang yang penting yang akan menentukan kemajuan negara pada masa depan.

