Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga dakwa rugi akibat jalan rosak berhampiran Suke

Sekumpulan peniaga Taman Len Seng dan Alam Damai mendakwa menanggung kerugian akibat keadaan jalan yang rosak susulan pembinaan lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) berhampiran kedai mereka.

Peniaga terbabit mendakwa terpaksa berdepan masalah itu setelah lebuhraya tersebut mula beroperasi setahun lalu.

Wakil peniaga Alam Damai, Kenny Lin See Wai, 45, berkata, keadaan jalan raya itu menyukarkan pelanggan untuk berkunjung ke kedainya.

“Dulu, sebelum ada pembinaan itu, jalan raya cantik dan orang senang nak letak kereta. Tiada masalah buat mereka (pelanggan) untuk ke kedai saya.

“Sekarang bisnes saya pun jatuh kerana semua pelanggan tidak mahu ke sini,” katanya pada sesi perbincangan peniaga bersama wakil konsesi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di Alam Damai hari ini.

Tambah Kenny, akibat keadaan jalan yang teruk, banyak kedai ditutup dan kemalangan juga sering berlaku.

“Rata-rata kami (peniaga) sudah tutup kedai kerana tidak bawa untung dan kemalangan motor juga selalu berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, seorang lagi peniaga Taman Len Seng, Malini Mahalingam, 35, menggesa pihak Prolintas supaya melakukan tindakan untuk menambah baik keadaan jalan yang tidak rata.

“Kami sudah banyak mengalami kesusahan akibat pembinaan yang mereka lakukan, saya juga sudah banyak rugi.

“Apa yang saya mahu adalah pihak Prolintas membuat tindakan yang sepatutnya bagi membantu pihak peniaga,” katanya.

Malini berkata, jika tiada sebarang usaha dari pihak konsesi, peniaga akan mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, pihak Prolintas menjelaskan bahawa telah mengambil kira aduan dan meneliti masalah yang dihadapi pihak peniaga itu.

“Kami sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi oleh pihak peniaga dan akan meneliti aduan tersebut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS