Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video lucah: Hadi bimbang ada campur tangan asing

PAS menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung klip video lucah yang dikaitkan dengan individu mirip seorang menteri kabinet baru-baru ini.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana beliau bimbang wujud campur tangan asing dengan penyebaran video lucah berkenaan.

Abdul Hadi berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana politik kotor dan jahat biasa digunakan anasir asing dalam mencampuri pentadbiran negara.

"Apa yang membimbangkan saya terdapat unsur-unsur asing, campur tangan dalam negara kita dan ini mesti dibendung.

"Kerajaan mesti menyiasat sehingga ke akar umbi termasuk kepada pihak yang cuba menarik campur tangan asing ke dalam negara kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS, di Kuantan hari ini.

Hadir sama Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh.

Rabu lalu tular video lucah membabitkan dua lelaki yang mana salah seorang pelakunya mirip menteri hal ehwal ekonomi, Azmin Ali.

Ia disusuli pengakuan bersumpah Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa terlibat dalam aksi ranjang bersama menteri berkenaan.

Haziq Abdullah yang membuat pengakuan itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK).

Haziq adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin tampil menafikan dirinya terbabit dalam video ia dan menyifatkan ia merupakan fitnah untuk memusnahkan karier politik beliau.

Malam tadi pihak berkuasa menahan Haziq di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia) dan membuka empat kertas siasatan termasuk tuduhan melakukan seks luar tabii dan mengedarkan bahan lucah.

Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, campur tangan asing adalah perkara serius dan perlu ditangani secara berkesan jika berlaku.

"Jangan ada campur tangan asing dalam negara kita, tidak mustahil (berlaku) kerana fahaman asing yang mengajar politik kotor," tambahnya.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, beliau tidak mahu "menghukum" pihak yang dikaitkan dengan penularan video berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Lihat Komen
ADS