Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anak muda baca kitab yang betul tolak rasuah, kleptokrat'
Diterbitkan:  Jun 16, 2019 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari memuji anak muda Malaysia yang membaca "kitab yang betul" dan menolak rasuah serta kerajaan kleptokrat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pada masa sama, Adly berasa musykil jika ada kitab yang menyarankan menyokong golongan kleptokrat.

“Saya bangga dengan anak muda Malaysia. Mereka telah membaca “kitab yang betul”.

“Cuma saya musykil, kitab mana yang membenarkan kleptokrat itu disokong? Dan piagam dibentuk atas prinsip 'Malu apa bossku',” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adly dipercayai merujuk pada kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS semalam yang menyifatkan sebahagian anak muda memilih PH pada PRU lalu kerana "tidak mengaji kitab".

"Tiga puluh peratus pengudi muda (mengundi PH) yang berumur 21 tahun yang tak mengaji kitab, (tidak) mengaji agama, (tapi) mengaji dengan telefon bimbit, mengaji dengan Facebook, mengaji dengan WhatsApp.

"[...] Politik bukan kajian dua tiga minit (tetapi) untuk beberapa tahun akan datang, akhirnya (mereka) membuat keputusan yang salah (dengan memilih PH)," kata Abdul Hadi dalam ucapannya.

Sementara itu, Adly menambah, keputusan dan kesedaran anak muda dalam PRU lalu telah menyelamatkan negara daripada terus dicuri wangnya oleh pihak tertentu.

“Bagi pencuri dan sekutunya, itu (kemenangan PH) adalah tragedi.

“Tragedi paling besar adalah pencuri dihadapkan ke mahkamah dan bakal diikuti dengan sekutunya.

“Di Melaka, Perdana Menteri menyatakan, kalau mahu ditangkap pencuri terlalu ramai, tiada pegawai yang mencukupi menguruskan tangkapan dan pendakwaan,” katanya lagi.

Adly merujuk pada kenyataan Dr Mahathir Mohamad pada 10 Jun di Jasin bahawa kerajaan kekurangan tenaga kerja untuk menyiasat setiap dakwaan salah laku dalam pentadbiran lalu, justeru menumpukan pada kes-kes serius terlebih dahulu.

"Kita dapati kerajaan yang ditewaskan (pada PRU lalu) mempunyai ramai yang melakukan jenayah, tetapi pada waktu ini tak mungkin kalau nak tumpu kepada semua kerana kita kekurangan tenaga (kerja).

"Pada waktu ini, kita tumpu kepada kes-kes yang amat serius umpamanya (bekas) perdana menteri yang menyebabkan wang KWAP (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan) lesap," katanya.

Lihat Komen
ADS