Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB: Kanak-kanak tiga tahun suku Bateq mati akibat campak

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata kematian kanak-kanak Orang Asli suku Bateq, dari Kuala Koh, Gua Musang semalam, disebabkan demam campak.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh sumber-sumber daripada pihak hospital.

"Saya ucapkan takziah atas kematian (kanak-kanak) tersebut. Saya dapat maklumat (kematian) berpunca daripada campak.

"(Ini) mengikut maklumat yang saya dapat sehingga ini melalui sumber-sumber hospital, " katanya ketika ditemui di selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan seorang kanak-kanak tersebut Nasri Rosli yang dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, meninggal dunia petang semalam.

"Unit Forensik hospital akan melakukan bedah siasat pada hari ini untuk mengesahkan sebab kematian.

"Jumlah keseluruhan mangsa orang asli dari Kuala Koh yang telah meninggal dunia adalah 15 orang," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) akan menguruskan bantuan kepada keluarga Nasri itu.

Beliau juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Nasri.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan Jumaat lalu mengesahkan ujian terhadap sumber air di perkampungan itu setakat ini bukan penyebab kematian 15 penduduk Kuala Koh.

Malah katanya, tiada kewujudan pelepasan sisa lombong melalui sumber air di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Kerajaan Kelantan melihat isu kematian Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang perlu diperhalusi puncanya khususnya dalam aspek gaya hidup masyarakat itu.

Justeru Ahmad berkata, sepatutnya semua pihak melihat penyakit yang dihadapi masyarakat itu dalam aspek kesihatan, kebersihan, amalan pemakanan, dan cara hidup mereka perlu kita pertingkatkan sebagaimana Orang Asli di pos-pos lain.

"Mereka (suku lain) telah pun (menjalani kehidupan) lebih moden, saya harap semua pihak perlu memikirkan untuk mengubah suku Bateq kepada lebih baik melalui sistem pendidikan, cara mereka berfikir dan sebagainya.

"Banyak perkara yang perlu dibantu untuk suku Bateq," jelasnya.

Lihat Komen
ADS