Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MUKTAMAR PAS | Menjelang muktamar mereka kali ke-65, PAS dilihat begitu memberi penekanan tentang kepatuhan terhadap barisan kepimpinan dan keputusan yang dibuat.

Malah Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan beberapa kali bahawa pucuk pimpinan parti lebih mengetahui sebarang perkara yang tersirat berbanding ahli biasa yang melihat sesuatu hal secara tersurat.

Penganalisis politik tempatan melihat, PAS memang menekankan soalan kepatuhan - atau yang selalu digunakan mereka: walak - menjelang muktamar kali ini bagi memastikan tidak ada suara dalam kalangan perwakilan memberikan pandangan berbeza daripada keputusan kepemimpinan tertinggi.

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sekiranya wujud suara yang tidak sekata dengan pendirian PAS, ia dibimbangi akan memecahkan perpaduan dalaman parti.

"Berdasarkan situasi politik semasa, ternyata tindakan presiden PAS menekankan soal walak menjelang muktamar adalah langkah pencegahan untuk elak para perwakilan membantah isu-isu yang sedang melanda termasuk kerjasama dengan Umno, dakwaan parti menerima dana Umno hinggalah isu pendirian Abdul Hadi menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sekiranya wujud undi tidak percaya di parlimen," katanya.

Namun menurut pensyarah dari Universiti Malaya itu, pimpinan PAS perlu bersikap lebih terbuka untuk menerima komen, pendirian dan suara akar umbi atau perwakilan mereka di sebalik seruan supaya ahli mengutamakan walak.

"Ini sesuai dengan konsep politik Islam yang menekankan konsep kebebasan ahli untuk menyuarakan pandangan, kebebasan memilih dan menentukan pendirian berdasarkan tabayyun.

"Ini juga selari dengan konsep keadilan dalam politik Islam bahawa ahlinya mempunyai hak yang sama dan dilayan sama rata.

"Keadilan ini bermakna hak yang sama rata untuk memilih dan dipilih sebagai perwakilan dan kepimpinan parti," jelasnya.

Ada risiko perpecahan

Tambah Awang Azman, keadilan politik Islam juga selari dengan konsep keputusan yang dibincangkan dalam konsep syura.

"Maksudnya semuanya boleh dibincangkan dalam pelbagai peringkat lapisan, dari peringkat cawangan, bahagian hinggalah ke peringkat tertinggi.

"Apabila proses ini berlaku barulah konsep walak lebih bererti dalam politik Islam.

"Kita tidak mahu konsep walak digunakan untuk proses penutupan minda daripada penerimaan pencerahan dalam kalangan perwakilan.

"Konsep walak tidak boleh datang sendiri tanpa proses-proses tersebut.

"Kalau tidak ia akan membawa unsur kediktatoran, tertutup dan masuk dalam kepompong dan tempurung sendiri," katanya.

Hujahan itu, katanya, antara kandungan dalam konsep politik Islam yang dalam pemikiran al-Mawardi dan Ibnu Taimiyah.

Katanya ia boleh dihayati untuk mengukuhkan kesinambungan budaya politik Islam yang dinamik agar bersifat kontemporari.

Sementara itu bagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata pengalaman pemilihan 2015 yang menyaksikan perpecahan besar hingga tertubuhnya Amanah memberi pengajaran besar buat PAS.

Justeru katanya muktamar dan pemilihan PAS kali ini juga membawa risiko perpecahan yang besar kepada parti itu rentetan daripada beberapa isu yang mencemaskan.

"Beberapa isu yang melanda PAS dibimbangi timbul sebarang keretakan. Maka dengan sebab itu, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, presiden cuba mengingatkan kembali kepada pemimpin dan ahli-ahli parti itu betapa dalam perjuangan, istiqamah dan setia kepada pemimpin itu adalah syarat penting bagi menjayakan perjuangan parti.

"Antaranya apabila PAS terpalit dengan isu saman Sarawak Report, isu audio 'sumpah jadi abu' dan kerjasama dengan Umno.

"Kemudian ia diteruskan dengan pendedahan menantu presiden PAS (Zahirudin Muhammad) bahawa wujud geng kardel dedak dalam parti itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mazlan yang juga penyarah kanan Sekolah Perdana UTM itu berkata, isu-isu yang berpanjangan ini berpotensi memecahkan kesepaduan ahli-ahli dan pendukung PAS.

Jelasnya, tidak dinafikan kerjasama dengan Umno membawa kebaikan kepada blok pembangkang apabila gabungan PAS-Umno berjaya menangi tiga pilihan raya kecil berturut-turut walaupun akhirnya kembali tewas di Sandakan.

"Meskipun begitu, terdapat juga suara-suara yang tidak mempersetujui kerjasama PAS-Umno dan situasi ini juga agak berisiko kepada PAS.

"Dalam erti kata lain, PAS bimbang jika konsep walak ini semakin longgar dan ahli-ahli parti mungkin tidak berdisiplin, mungkin isu-isu seperti saya nyatakan itu bakal dibangkitkan sekali gus menjejaskan PAS," katanya. 

Lihat Komen
ADS