Ilmu perbomohan perlu dilihat secara positif kerana ia merupakan khazanah ilmu warisan yang terkumpul sejak zaman berzaman, kata pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Dr Hashim Awang.
"Sebahagian besar daripada ilmu perubatan Melayu tersimpan dalam kitab-kitab tib (kitab ubat-ubatan) Melayu," katanya ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk "Berkatalah Bomoh Melayu..." di Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, peranan bomoh untuk mengubati penyakit di kalangan masyarakat Melayu tidak dapat dipisahkan walaupun pada era globalisasi hari ini.
Katanya, ini kerana orang Melayu masih memerlukan khidmat bomoh kerana perubatan moden tidak mampu mengubati 100 peratus sesetengah penyakit yang mereka hidapi dan bomoh dilihat sebagai alternatif pengubatan.
Sumber perubatan
Bernama memetik Hashim sebagai berkata ilmu perbomohan Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai satu pembaziran, malah sebagai sokongan kepada sumber perubatan yang ada di negara ini.
"Dalam khazanah ilmu perubatan Melayu terdapat pelbagai jenis penyakit serta ubatnya sekali. Kalau kita kembali semula kepada kandungan kitab tib terdapat berpuluh-puluh jenis penyakit yang dapat dikesan oleh orang Melayu sejak dahulu lagi," kata Hashim.
Menurut beliau walaupun ilmu perbomohan itu, daripada perspektif sekarang tidak begitu menyakinkan, ia tetap tersemat disanubari orang Melayu.
"Mahu tidak mahu kita semua tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa itu adalah warisan kita," katanya.
Bahkan katanya banyak penyelidikan di seluruh dunia dan tidak terkecuali orang Melayu menunjukkan anggota masyarakat gemar menggunakan pelbagai sistem pengubatan dalam usaha mereka membebaskan diri daripada cengkaman penyakit.
