Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Persidangan hari pertama Pemuda PAS Malaysia ke-60 di Bukit Gambang Resort City hari ini menyaksikan seorang wakil dari Borneo menyuarakan beberapa kesulitan yang dihadapi mereka.

Antara perkara yang dibangkitkannya ialah perhatian yang kurang diberikan kepada dua negeri tersebut, termasuklah ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan tempoh hari.

“[...] Tuan-tuan kena fikir, jangan syok sendiri (bahawa) kita pasti menang, tetapi Sabah dan Sarawak diabaikan.

“Sejauh mana pimpinan memandang serius terhadap kemenangan pada PRU ke-15? [...] Sepanjang PRK Sandakan, satu orang pimpinan sahaja pergi, SUA (setiausaha agung, Takiyuddin Hassan) [...],” kata wakil dari Sandakan, Mustaman Mustain ketika membahas Laporan Tahunan 2018.

Yang paling ketara, katanya, Lajnah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak telah ditiadakan untuk sesi terbaru.

Untuk rekod, lajnah tersebut sepatutnya dipegang oleh Mohamad Arifiriazul Paijo untuk tahun 2017 hingga 2019.

“Ini tuan-tuan kalau betul-betul serius nak menang PRU-15, mesti jaga Sabah dan Sarawak. Jangan sampai (jadi) deposit tetap untuk PH sebagaimana (terjadi) kepada BN pada masa lalu,” katanya lagi.

Ketika ditemui Malaysiakini, Mustaman menjelaskan apa yang dimaksudkannya bukanlah tiada perhatian diberikat Pemuda PAS Pusat, sebaliknya ia dirasakan kurang mencukupi.

Diputuskan selepas berbincang

“[...] Kita ada 56 kerusi di Sabah dan Sarawak. Bila kamu nak menang, kena menang sini juga, mana boleh menang semenanjung sahaja?

“Bukan maksud tidak diberi perhatian langsung. Itu tipulah (jika dikatakan tiada perhatian), tetapi kita mahu lebih. Contohnya, lajnah dan jabatan turun lebih kerap bantu kami di Sabah dan Sarawak (bagi memenangi PRU-15),” katanya.

Perkara yang dibangkitkan Mustaman itu berjaya mencuri perhatian semua perwakilan yang memberikan tepukan dan sesekali ketawa dengan cara penyampaian Mustaman yang bersahaja itu.

Dalam jawapan yang diberikan Ketua Sektor Pengurusan merangkap Setiausaha Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, ketiadaaan lajnah tersebut diputuskan setelah perbincangan panjang dibuat di peringkat mesyuarat pusat.

“Dalam mesyuarat Pemuda PAS Malaysia, kita berbincang agak panjang tentang isu ini. Apabila kita buat susunan organisasi semula, daripada konsep lajnah kepada konsep sektor, kita berpandangan fungsi lajnah Sabah dan Sarawak ini sudah tidak wujud, atau tidak boleh lagi wujud.

“Kenapa? Kerana tanggungjawab untuk melihat Sabah dan Sarawak ini tidak boleh hanya dibebankan kepada lajnah sahaja, ia adalah tanggungjawab keseluruhan organisasi, lajnah dan sektor yang ada. Keseluruhan negeri lain.

“Lajnah atau sektor-sektor selepas ini yang lain, mesti turun ke negeri-negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak [...], tidak boleh hanya mengharap kepada pimpinan utama,” katanya ketika memberi ucapan jawabnya.

Ketua Sektor Sumber Manusia dan Latihan, Ir Khairil Nizam Khiruddin turut memberi respons berkenaan isu itu dengan menjelaskan waktu PRK yang berlangsung di awal Ramadan bertembung dengan program parti yang ditetapkan lebih awal.

Katanya, program 'nakbah' sememangnya memerlukan wakil rakyat ‘berkubu’ di kawasan yang dimenangi mereka pada awal Ramadan.

“Ketua Pemuda menang di peringkat DUN (Batu Buruk), naib ketua pemuda menang di peringkat Parlimen (Pasir Mas). Kalau tuan-tuan membaca politik PAS, waktu puasalah waktu kita berkubu di situ (kawasan), berjumpa dengan rakyat,” jelasnya.

Untuk rekod, PRK Sandakan berlangsung pada 11 Mei lalu, bersamaan dengan 6 Ramadan 1440 H.

Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula semasa memberikan jawaban isu itu menyatakan ia merupakan keputusan parti mengikut pertimbangan tertentu pada masa tersebut.

“Selepas PRU-14, berlakunya pilihan raya kecil. Parti dah buat keputusan, ada tempat kita masuk, ada tempat kita tak masuk, ada tempat kita bantu sepenuhnya, ada tempat kita bantu sekadarnya, dengan (mengambil kira) malahah-maslahah yang kita lihat pada ketika itu,” katanya.

Selain isu perhatian terhadap Sabah dan Sarawak, Mustaman turut meluahkan perasaan perwakilan di negeri tersebut berikutan tarikh muktamar Pemuda PAS ditukar tarikhnya sehingga menyebabkan kerugian buat mereka. .

“Kalau diikutkan jadualnya minggu lalu bersamaan dengan tarikh Muktamar Muslimat PAS. Kami terpaksa alami kerugian duit kami lebih kurang RM700 gara-gara menukar tiket penerbangan.

“Semasa muktamar ditentukan dalam jarak yang jauh, seminggu (jarak masa). Ini jarang-jarang terjadi ini. Dikatakan ada maslahah yang pimpinan fikirkan. Kami beli tiket penerbangan, dah berazam nak berada di Pahang seminggu.

“Seminggu kami bersedia untuk berada di sini. [...] Tapi bila tukar, kami tukar juga (tiket penerbangan). Sami’na wa atho’na (Kami dengar dan kami patuh)," katanya disambut laungan takbir oleh perawakilan.

Biarpun perkara yang dibangkitkan itu tidak dijawab oleh mana-mana pemimpin sektor, Mustaman ketika ditemui menyatakan itu sebenarnya bukanlah suatu isu yang besar.

“Asalnya, muktamar ini minggu lalu. Tapi mereka tukar jadi minggu ni mungkin sebab ada pertimbangan tertentu oleh pusat. Kita pun tak tahu, tapi kita cuma ikut saja. Kita tiada apa. Cuma (hal) kecil saja,” katanya. 


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS