Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Mohd Nazree Mohd Yunus menggesa partinya supaya memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz susulan fitnah video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Mohd Nazree menegaskan sayap pemuda parti itu senantiasa berdiri teguh bersama Azmin yang juga timbalan presiden PKR dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Pemuda (AMK) berpendirian tegas, kita melihat dalam isu ini Haziq perlu dipecat.

"Jelas ia satu tuduhan fitnah yang kita tidak boleh bersetuju seperti mana kita tidak boleh bersetuju 20 tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat khas di Rumah Pemuda di Shah Alam, malam ini.

Petang tadi, dilaporkan PKR telah pun mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Haziq kerana mengeluarkan kenyataan umum yang menjejaskan imej parti.

Haziq diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR Ahmad Kassim berkata pihaknya turut mengambil maklum penafian Azmin dan akan meneliti penjelasan sekiranya ada.

Pada 12 Jun lalu Haziq tampil mengaku sebagai salah seorang individu dalam klip video seks yang tular.

Haziq turut mendakwa individu bersamanya dalam aksi intim itu adalah Timbalan Presiden PKR.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Keputusan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Haziq dicapai selepas biro politik PKR bermesyuarat petang tadi.

Sementara itu Mohd Nazree menegaskan Pemuda PKR berdiri teguh bersama Azmin dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam parti itu.

Ditanya mengenai ketegasan AMK mempertahankan Azmin membawa maksud akan berlaku pertembungan antara timbalan dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Saya rasa itu serah pada masa akan menentukan. Soal ia berlaku atau tak serah pada situasi.

"Saya ingin menegaskan di peringkat pasukan kita berdiri teguh mempertahankan timbalan presiden dalam tuduhan fitnah dan selepas berbincang panjang, kita sedia untuk berdepan apa juga situasi yang bakal berlaku dalam politik keadilan dan juga di peringkat negara," katanya.

Jelasnya, PKR tidak lagi boleh berpolitik mempertahankan individu dan keluarga sebaliknya perlu melihat kepada situasi semasa politik negara.

Lihat Komen
ADS