Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Sikap terbuka PAS untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam politik bukan bermatlamatkan kuasa, kata Ketua Ulama PAS Pusat Dr Mahfodz Mohamed.

Menyampaikan ucapannya di muktamar pergerakan itu di Kuantan hari ini, beliau berkata langkah diambil PAS atas nama seperti tahaluf, taawun atau seumpamanya dengan penuh bermaruah dan berprinsip.

"Ulama PAS melihat bahawa keterbukaan PAS ini adalah bukti kematangan dalam politik demi untuk kesejahteraan rakyat dan kepentingan Islam.

"Keterbukaan PAS dalam politik ini bukan berkiblatkan kuasa, tetapi berpaksikan tauhid," katanya.

Pada masa sama beliau mengingatkan dalam keadaan begitu ulama PAS mesti berada di depan dalam setiap perbincangan dan perancangan.

Hal itu kerana katanya daripada dua parti yang bekerjasama sekarang hanya PAS yang mempunyai badan khusus membabitkan ulama.

"Antara dua parti ini, hanya PAS yang menubuhkan Dewan Ulamak. Ia menunjukkan keistimewaan kalangan alim agama, khususnya, diangkat sebagai satu entiti yang besar peranannya, tidak hanya sekadar tempelan," katanya.

Mesti dasar Islam

Dalam ucapan sama Mahfodz juga meminta ulama PAS berperanan memberikan penerangan kepada seluruh anggota parti agar memahami ijtihad politik semasa yang diputuskan pemimpin mereka.

Katanya sikap beremosi dalam bekerja mestilah dijauhi, sebaliknya kefahaman yang sahih perlu dipupuk.

Dilihat mengulang seruan agar memberikan walak pernah dibangkitkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Mahfodz berkata, dalam hal berkaitan strategi anggota parti perlu menyerahkan urusan berkenaan kepada pimpinan tertinggi.

Katanya pendirian pemimpin dibuat berdasarkan kepada maklumat yang ada pada mereka.

"Adapun peranan ahli di peringkat bawahan hendaklah memberikan thiqah (kepercayaan) sepenuhnya kerana soal strategi adalah dalam ruang lingkup mutaghayyirat (berubah-ubah), bukannya thawabit (kekal).

"Malah daripada sudut hukum bagi menentukan keharusan sesuatu tindakan, perlu diserahkan thiqah kepada Majlis Syura Ulamak PAS bagi menentukannya," katanya.

Beliau menambah taawun dengan Umno juga mesti dipastikan agar ia berada pada landasan yang diharuskan oleh syarak.

"Taawun PAS dan Umno ini dan apa-apa ijtihad tahaluf selepas ini adalah atas dasar Islam dan menegakkan syariat Islam, bukannya atas dasar kaum atau perkiraan politik semata-mata," katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS