Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sungai Berua makin sunyi, hanya 12 murid hadir ke sekolah
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 12:14 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Senyap dan sunyi.

Itu gambaran keadaan penempatan di Sungai Berua, di Hulu Terengganu berikutan perpindahan Orang Asli suku Semaq Beri ekoran kegusaran terhadap penyakit yang menular sejak dua minggu lepas.

Tinjauan Bernama di kawasan tersebut mendapati bukan sahaja kebanyakan rumah ditinggalkan sepi tetapi juga ramai murid tidak ke sekolah kerana mengikut ibu bapa mereka ke hutan berhampiran termasuk di sekitar Kampung Gerdong.

Rekod terbaharu mencatatkan hanya 12 daripada 104 murid Orang Asli ke Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Hulu Terengganu.

Guru Besar sekolah terbabit Nor Suhaimi Abdul Latif berkata keadaan tersebut adalah paling teruk yang pernah dihadapi pihaknya sejak ia mula dibuka pada 1980-an.

Sekolah yang mempunyai 12 guru termasuk Guru Besar dan dua pekerja am itu didapati melakukan aktiviti mengajar seperti biasa dan sesetengah guru memainkan peranan mengunjungi rumah ke rumah untuk memanggil pelajar pergi ke sekolah sejak awal pagi.

Nor Suhaimi berkata situasi sekolah bagaikan sunyi secara tiba-tiba itu bermula selepas Aidilfitri lalu dan ia semakin meruncing apabila ibu bapa memilih membawa anak-anak keluar ke hutan secara berperingkat.

Katanya pelajar yang hadir ke sekolah itu adalah daripada keluarga yang memilih untuk terus tinggal di Sungai Berua dan hanya bapa mereka yang keluar ke hutan untuk mencari rotan.

Meskipun ‘kehilangan’ pelajar secara tiba-tiba biasa berlaku ekoran faktor Orang Asli suka berpindah-randah namun keadaan terkini itu adalah sesuatu di luar jangkaan kerana melibatkan jumlah pelajar yang ramai.

“Daripada 12 pelajar yang datang ke sekolah hari ini, ada yang datang sendiri dan ada juga yang cikgu nasihatkan untuk datang ke sekolah setelah berkunjung ke rumah mereka,” katanya yang pernah bersama-sama Bernama, Sabtu lalu menjejaki Orang Asli ke dalam hutan di Kampung Gerdong, di Hulu Terengganu untuk memujuk mereka pulang ke Sungai Berua.

Menurut Nor Suhaimi, sesi 'pujuk-memujuk' Orang Asli bukanlah pertama kali berlaku sebaliknya beliau bersama-sama guru lain kerap ke dalam hutan, malah pernah menyewa bot menyusuri sungai, demi masa depan anak-anak murid sekolah terbabit.

Kawasan penempatan Orang Asli di Sungai Berua mempunyai kira-kira 600 orang daripada suku Semaq Beri atau kaum hutan, dengan 119 ketua isi rumah.

Sementara itu, Kamal Komel, 37, berkata beliau bersama isteri dan lima anaknya tidak berpindah kerana berpendirian keadaan di kawasan itu (Sungai Berua) masih terkawal serta mementingkan pendidikan anak-anak.

“Dua anak masih bersekolah...kalau keluar pun hanya saya seorang. Di kawasan sekitar rumah dah hampir kosong...terlalu ramai yang keluar ke hutan. Saya pun tak pasti ke arah mana mereka bergerak.

“Ada yang kata bimbang dengan penyakit, tetapi saya fikir tinggal di kawasan ini lebih baik sebab ada klinik kesihatan,” katanya.

Kawasan penempatan Orang Asli di Sungai Berua telah diwujudkan lebih 35 tahun lalu dan kebiasaannya mereka akan keluar ke hutan mencari rotan dalam tempoh tidak lebih dua minggu dan pulang semula.

Bagaimanapun, kehadiran saudara mereka dari Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan ke Sungai Berua baru-baru ini dikatakan telah menimbulkan kegusaran setelah dimaklumkan ramai telah mati di Kuala Koh akibat penyakit berjangkit.

Setakat ini, seramai 15 Orang Asli Kuala Koh dilaporkan telah meninggal dunia manakala di Hospital Hulu Terengganu seramai 12 Orang Asli dirawat ekoran mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS