Malaysiakini BERITA

Ahli politik terlibat sindiket penyeludupan di sempadan, dakwa Akhbar

B Nantha Kumar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Akhbar Sattar mendakwa ahli-ahli politik Malaysia turut terlibat dengan sindiket penyeludupan tembakau di sempadan negara.

Malah beliau mendakwa berdasarkan maklumat yang diterima polis cawangan khas (SB), hampir 80 peratus pegawai agensi kerajaan yang bertugas di sempadan terlibat dengan rasuah penyeludupan.

"Ini satu perniagaan (penyeludupan tembakau) yang besar. Ahli-ahli politik dan rakyat Malaysia yang berpengaruh yang berkait dengan rasuah juga terlibat dengan sindiket ini.

"Ini satu isu yang sangat serius dan ia perlu diberi perhatian," katanya dalam majlis perbincangan meja bulat berkenaan penyeludupan tembakau ke Malaysia hari ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Dalam majlis anjuran syarikat British American Tobacco (BAT) itu, Akhbar memberitahu selain kekurangan integriti di kalangan pegawai agensi kerajaan, kekurangan fasiliti agensi penguatkuasa juga merupakan antara punca sindiket berleluasa.

"Sudah semestinya, kita ada pegawai-pegawai berintegriti tinggi di Jabatan Kastam, tetapi beberapa yang lain terlibat dengan rasuah dan sindiket. Kerana ia melibatkan wang yang banyak.

"Membeli tembakau seludup di Indonesia adalah antara AS$40,000 (RM160,000) bagi kontena bersaiz 40 kaki. Mungkin di dalamnya mempunyai 10 juta batang rokok di mana di Malaysia ia boleh dijual dengan (harga) RM2.5 juta.

"Katakan seorang penyeludup membawa masuk enam kontena dan dua daripadanya ditahan agensi penguatkuasa, masih boleh membuat untung," katanya ketika menjawab soalan moderator, Melissa Idris.

Turut hadir Pengarah Perundingan Impak Ekonomi Eropah dan Timur Tengah di Oxford Economis, Pete Collings; Pengarah Pengurusan Kumpulan MIDF, Charon Wardini; bekas pengarah Afritac South, Kenneth Head dan wakil Siasatan Jenayah Lembaga Hasil Dalam Negeri Konsulat AS-Hong Kong, David Lum.

Beliau menambah,  kumpulan militan seperti Abu Sayyaf turut terlibat dengan sindiket penyeludupan di sempadan.

"Kalau kita tengok sekarang, Abu Sayyaf yang berpengakalan perairan Sabah kurangkan aktiviti culik kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan dan memperolehi wang yang banyak.

"Adalah mustahak kepada kerajaan untuk membendung aktiviti-aktiviti sebegini kerana hasil daripada penyeludupan ini digunakan untuk jenayah terancang," tambah beliau.

Malaysiakini sedang menghubungi Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Jabatan Kastam untuk mendapatkan maklumbalas berhubung dakwaan berkenaan.