Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
50 mati akibat arak haram: DHPP dakwa Kastam lembap

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa lembap bertindak terhadap penjualan arak haram di seluruh negara, kata Anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), S Barathidasan.

Menurutnya sejak September tahun lalu lebih 50 warga tempatan dan asing dilapor meninggal dunia, namun hingga kini JKDM gagal membendung kegiatan jualan minuman keras tiruan.

"Saya terkejut dengan berita kematian demi kematian yang melibatkan rakyat Malaysia dan warga asing akibat minum minuman keras tiruan.

"Saya percaya tindakan kurang pantas JKDM punca sindiket ini tidak dapat dihentikan," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata, polis Pulau Pinang mengesahkan enam maut di negeri itu sejak dua bulan lalu dipercayai meminum arak tiruan yang didalangi sindiket warga Myanmar.

Tambahnya, kematian terbaru berlaku di Johor dan Pulau Pinang yang mencatatkan empat kematian pada Selasa lalu.

Barathidasan berkata beliau percaya dalang penjualan minuman keras berkenaan adalah daripada sindiket yang sama.

Ini katanya memandangkan kematian di dua negeri berkenaan dikenalpasti berpunca daripada jenama arak tiruan yang sama.

10 kes telah dibawa ke mahkamah

Sementara itu, JKDM dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini menafikan pihaknya lambat mengambil tindakan terhadap sindiket minuman arak tiruan.

"JKDM sentiasa melaksanakan operasi-operasi untuk menumpaskan pengilangan, pengedaran dan penjualan minuman keras tiruan secara berterusan ini.

"Sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka di mana 10 kes telah di bawa ke Mahkamah. Dalam kes-kes tersebut, satu kes melibatkan kompaun, lapan kes mengaku salah dan dua mohon dibicarakan," jelasnya.

JKDM berkata sejak tercetus insiden keracunan pada September tahun lalu, jabatan itu telah mengadakan Operasi Bersepadu secara berterusan sehingga hari ini.

"JKDM bersama Kementerian Kesihatan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak PDRM dalam membantu siasatan ini. 

"JKDM amat mengalu-alukan maklumat dari orang ramai terutamanya melibatkan pengilangan minuman keras tiruan dan tanpa lesen bagi melumpuhkan terus sindiket ini," tambahnya lagi.

Sejak September tahun lalu dilaporkan lebih 50 mati akibat minuman keras tiruan.

Arak tiruan ini dipercayai diproses dengan mencampurkan bahan kimia etanol lalu dimasukkan ke dalam botol arak asli.

Lihat Komen
ADS