Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pendukung gerakan Islam dan dunia keadilan terkejut dengan kematian Muḥammad Muḥammad Mursī ʿĪsā al-ʿAyyāṭ atau lebih di kenali sebagai Mohamed Morsi mantan Presiden Mesir.

Beliau telah menjalankan tanggungjawab sebagai presiden Mesir kelima di antara 30 Jun 2012 hingga 3 Julai 2013 sebelum digulingkan melalui kudeta tentera pimpinan General Abdel Fattah el-Sisi.

Dr Morsi graduan Ijazah Doktor Falsafah Sains Bahan dari University of Southern California, Amerika Syarikat. 

Kemudian menjawat jawatan sebagai Pembantu Profesor di California State University, Northridge (CSUN). Beliau juga di kalangan komuniti ahli sains merupakan pakar dalam bidang permukaan persis logam dan pernah terlibat dalam beberapa projek NASA dalam membangunkan enjin kapalangkasa (space shuttle engine). 

Namun walaupun memegang jawatan yang stabil serta pengiktirafan NASA, Dr Morsi memilih untuk kembali ke negara asalnya, Mesir.

Tekad beliau hanya satu pada ketika itu adalah untuk membangun generasi muda untuk kembali kepada Islam yang syumul dan kamil, selain untuk membantu pembangunan sains dan teknologi dalam bidang beliau.

Itulah Dr Mohammed Morsi yang dikenali di kalangan mahasiswanya di Universiti Zagazig, Mesir sebagai seorang intelek yang dedikasi, berkualiti dan berakhlak mulia.

Peristiwa 9/11 agenda Barat

Pada tahun 2000 beliau telah dipilih buat pertama kalinya sebagai anggota parlimen sebagai calon bebas kerana pada ketika itu Ikhwan Muslimin secara teknikalnya tidak wujud dan diharamkan untuk menyertai pilihanraya Mesir dibawah Presiden Hosni Mubarak.

Bagaimanapun pada tahun 2011 Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) telah ditubuhkan dan Dr Morsi dipilih sebagai presiden pertamanya. Pada ketika itu beliau dengan lantang sekali memperjuangan kebebasan dan hak rakyat Palestin.

Ketika peristiwa September 11 (9/11) Dr Morsi mengutuk sekeras-kerasnya peristiwa hitam tersebut, namun tidak ‘membebaskan’ Amerika Syarikat dari rasa tidak bersalah. 

Sebagai Saintis, Dr Morsi berpendapat melalui analisanya bahawa bangunan World Trade Centre (WTC) tidak akan roboh atau musnah dengan hentakan sebuah pesawat, tetapi menyatakan bahawa ada suatu elemen lain yang juga berlaku dalam bangunan tersebut sehingga berlaku letupan yang amat kuat.

Ejen Amerika Syarikat telah menghantar mesej ‘tidak gembira’ terhadap rumusan beliau terhadap peristiwa 9/11.

Namun sebagai seorang saintis yang berprinsip dan muslim yang soleh, Dr Morsi berpendirian bahawa peristiwa 9/11 adalah agenda Barat terutamanya AS untuk meranapkan Afghanistan dan menawan Iraq.

AS juga tidak pernah sekalipun mengemukakan bukti sahih bahawa 9/11 adalah angkara serangan orang Islam.

Itulah Dr Morsi. Kerana keteguhan prinsip dan perjuangannya bersama FJP dan Ikhwan Muslimin akhirnya beliau bersama partinya berjaya memenangi pilihanraya Mesir.

Presiden pertama Mesir

Beliau secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Presiden Pertama Mesir yang dipilih secara demokratik pada 30hb Jun 2012. 

Kerana prinsip Islam beliau yang teguh dan juga sebagai seorang ‘demokrat’ Dr Morsi membawa Mesir ke era baru dengan memperkenalkan polisi dari rakyat untuk rakyat, meneliti semula perlembagaan Mesir untuk memasukkan secara mantap elemen hak asasi manusia dan menyemarakkan pelaksanaan undang-undang Islam.

Dari sudut pertumbuhan eknonomi negara Mesir, beliau melihat potensi Terusan Suez untuk di integrasikan dengan hub industri dan keusahawanan negara Mesir. 

Beliau telah berjaya mendapatkan dana sebanyak AS$8million dari negara Qatar dan beliau juga berjaya mendapatkan rakan strategik dari negara India melalui perdana menteri India ketika itu Manmohan Singh supaya pelabur teknologi dan industri dari India melabur dan beroperasi di Mesir.

Silap percaturan politik

Namun , beliau sebagai insan yang punya kelemahan telah juga melakukan kesilapan percaturan politik apabila meminta dua orang kanan angkatan tentera mesir, General Mohamad Hussein Tantawi (Panglima Angkatan Tentera) dan General Sami Hanan (Ketua Staf Tentera) meletak jawatan. 

Beliau tanpa mencatur dengan penuh teliti telah menamakan dan melantik Ketua Perisikan Tentera General Abdel Fattah el-Sisi sebagai menteri pertahanan Mesir yang baru. Manakala jeneral Tantawi dan Hanan telah mencabar kesahihan penyingkiran mereka melalui tindakan undang-undang dengan tuduhan bahawa Dr Morsi telah berusaha membawa Mesir kepada zaman regim totalirian.

Bermula dari situlah ketidakstabilan dibina oleh pembenci gerakan Islam dan perubahan di Mesir dengan bantuan kuasa Barat dan Eropah untuk menjatuhkan kerajaan Morsi.

Akhirnya ketidakstabilan ini telah memberi peluang kepada oportunis dan ‘penjahat’ seperti General Abdel Fattah el-Sisi dan kuncu-kuncu merancang secara besar-besaran untuk melumpuhkan pemerintahan FJP dan Dr Morsi melalui kudeta. 

Digulingkan El-Sisi

Akhirnya Dr Morsi dan kerajaannya dilumpuhkan dari dalam dan luar pentadbirannya sehinggalah membawa kepada penahanan beliau dan beberapa pegawainya di Istana Presiden.

Pada tanggal 3hb Julai 2013 General Abdel Fattah el-Sisi mengisytiharkan Dr Morsi digulingkan dan menyatakan bahawa ketua mahkamah agung Mesir sebagai pemimpin kerajaan sementara Mesir, iaitu sehari selepas dikatakan beberapa pemuda bersenjata yang telah membunuh 16 orang dan 200 orang lagi mengalami kecederaan dalam demonstrasi pro-Morsi di bandar Kaherah.

Dr Morsi dan ratusan kepimpinan parti serta Ikhwan Muslimin ditangkap bersama keluarga mereka.

Dr Morsi sendiri dituduh dengan tuduhan karut yang diada-adakan. Beliau dituduh sebagai pengkhianat negara Mesir, ejen Qatar, bersekongkol dengan ‘pengganas’, mendorong gerakan Hamas dan sebagainya yang akan paling kurang penjara seumur hidup.

Pada 17 Jun 2019 Morsi meninggal dunia setelah berucap dengan izin hakim di dalam mahkamah. Dr Morsi meninggalkan kita semua menemui Tuhannya bersama misinya yang jelas dalam perjuangannya untuk membela Mesir khusus dari kezaliman dan kerakusan pemerintah silam. 

Beliau telah terpenjara kerana kecintaannya kepada Islam. Beliau dinafikan rawatan perubatan yang tidak wajar, terutamanya rawatan penyakit kencing manis dan penyakit hati yang dihidapi.

Sepanjang penahanannya, Dr Morsi ditahan di Penjara Tora atau lebih dikenali sebagai Penjara Kala Jengking. Penjara tersebut direka bentuk untuk tahanan-tahanan politik di mana mereka yang dipenjarakan di dalamnya apabila masuk, tidak akan keluar kecuali mati. Benarlah ungkapan Presiden Erdogan bahawa Dr Morsi tidak syak lagi pergi dengan penuh kemulian iaitu syahid. 

Benar jugalah kata-kata Sayyidah Zainab AlGhazali bahawa penjara Mesir adalah penjara jijik yang memenjarakan sekutu politik yang dipenuhi dengan kezaliman dan penyeksaan. Kepada almarhum Muḥammad Muḥammad Mursī ʿĪsā al-ʿAyyāṭ (Dr Morshi) kembalilah kepada Tuhanmu dengan tenang dan sesungguhnya semoga syurga menantimu.


PROF DR SHAHNOR BASRI ialah profesor Universiti Malaysia Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini. 


Lihat Komen
ADS