BERITA Malaysiakini

Murid sekolah di Pasir Gudang sesak nafas disyaki pencemaran udara

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kejadian terbaru yang disyaki berpunca darpada pencemaran udara telah mengakibatkan 15 mangsa, termasuk 13 kanak-kanak sekolah dari dua sekolah di Pasir Gudang hari ini, lapor agensi berita nasional.

Guru besar Sekolah Agama Taman Mawar Rahmah Yahaya dipetik Bernama berkata sesi pembelajaran bermula kira-kira jam 2.30 petang tetapi tidak lama kemudian seorang murid perempuan dilaporkan pengsan dan menular kepada beberap pelajar lain.

Sementara itu, BH Online melaporkan Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 petang dan sebuah jentera dengan tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian sebagai tindak balas pertama.

"Pemeriksaan awal mendapati berlaku pencemaran udara dengan 15 murid mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

"Lima murid dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Pada Mac lalu, pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim di Pasir Gudang juga telah menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah diarahkan ditutup sementara.

Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan.

Pada 26 Mac, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin memaklumkan terdapat 46 lokasi di Pasir Gudang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber pencemaran.

Penemuan itu katanya diperoleh berdasarkan data satelit susulan pemantauan pihak berkuasa ketika mengesan punca dan sumber kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Bagi 46 lokasi itu saya tiada angka yang tepat sama ada antaranya adalah tempat pelupusan sampah domestik atau adalah tempat (pembuangan) sisa berjadual,” katanya.