Anggota Polis trafik yang melepaskan tembakan menyebabkan seorang lelaki cedera parah di bahagian lengan kiri mungkin akan dipindah tugas ke bahagian pengurusan, kata Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.
“Anggota berkenaan juga sudah membuat laporan polis selepas kejadian dan buat masa ini, beliau tidak ditahan tugasnya dalam perkhidmatan polis sebaliknya akan dipertimbangkan untuk dialihkan penugasan daripada penguatkuasaan kepada pengurusan.
“...Apa yang kita nampak kedua-duanya ada melakukan kesalahan, baik mangsa ataupun pihak polis, namun terpulang kepada siasatan yang akan dijalankan nanti,” kata Mohd Rozi seperti dipetik Berita Harian hari ini.
Hari ini, Bernama melaporkan Ketua Polis Kedah Zainuddin Yaacob sebagai berkata, polis akan menyiasat kes itu akan dibuat secar profesional, telus dan adil.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Rabu lalu apabila mangsa Mohd Alif Anuar, 21, yang membonceng motosikal ditunggang rakannya Zulhilmi Azri, 22, dari Kuala Kedah untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu.
Polis trafik tersebut dikatakan mengejar motosikal tersebut yang melanggar lampu isyarat, sebelum melepaskan tembakan apabila mereka enggan berhenti.
Polis itu menyasarkan tayar bahagian belakang motosikal tetapi tembakan mengenai lengan kiri Mohd Alif.
Dalam pada itu, Mohd Rozi menafikan dakwaan keluarga mangsa bahawa lelaki itu ditinggalkan anggota polis setelah ditembak dalam keadaan berlumuran darah.
“Terpulang kepada mereka untuk menyatakan apa sahaja tetapi anggota kami tidak pernah berbuat demikian.
“Malah kenyataan bahawa anggota trafik itu memberi amaran kepada mangsa supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa juga tidak benar dan biarlah siasatan dijalankan untuk mengetahui perkara sebenar,” katanya lagi seperti dipetik.
Sementara itu, Berita Harian turut melaporkan mangsa telah selamat menjalani pembedahan untuk membuang peluru di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar awal pagi semalam dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
