Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dalam ucapan dasarnya hari ini menyeru rakan-rakan parti bukan Islam supaya bersama-sama mereka menolak parti fanatik perkauman.

"Kita mengharapkan rakan-rakan bukan Islam supaya menolak parti fanatik perkauman (cauvanis), khusus yang bersikap negatif terhadap umat Islam, tanpa mengenang budi, demi kepentingan kaumnya sahaja tanpa peduli hubungan kaum yang mesti dipelihara dengan saksama. 

"Mari bermuafakat tegakkan keadilan untuk semua, bersama hak yang setimpal dengan keperluan masing-masing, bukannya persamaan tanpa peduli kepada yang lemah dan miskin," katanya di Stadium Tertutup Sukpa, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Pada muktamar yang bertemakan Islam Memimpin Perpaduan itu, selain barisan kepemimpinan PAS ia turut dimeriahkan dengan kemunculan pimpinan utama Umno, MIC dan beberapa parti lain.

Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang menambah dalam isu perkauman, Islam tetap menegaskan bahawa fitrah manusia ada perasaan kecintaan kepada keluarga dan kaum.

Katanya Islam mewajibkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga dan bangsa di pelihara.

Pada masa sama jelasnya, Islam juga mewajibkan menjaga hubungan persaudaraan kemanusiaan berkonsepkan masyarakat madani yang bertaaruf, adil untuk semua dan tiada paksaan untuk menganut Islam atau hidup aman di bawah pemerintahan Islam.

"Namun, kecintaan itu ada sempadan, iaitu haram dijadikan sebagai akidah perjuangan apabila sampai ke tahap fanatik (asabiyyah) yang mencetuskan kezaliman di antara satu sama lain.

"Berpandukan ijtihad politik semasa PAS konsisten untuk memilih pendekatan damai dalam berpolitik (muwajahah silmiyyah) dan terbuka untuk berdialog dan menjalin hubungan politik dengan semua pihak di atas prinsip kerjasama Piagam Muafakat Politik," ujarnya.

Tambah beliau, PAS melalui pemerintahan di Kelantan dan Terengganu sudah berjaya membuktikan bahawa keadilan kepada semua kaum dan bangsa bukanlah ucapan kosong yang sudah dibuktikan melalui hak kebajikan dan beragama yang dijaga oleh kerajaan kepimpinan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan.

"PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menerima konsep politik Islam yang adil dan rahmat untuk semua adalah jambatan PAS kepada penganut bukan Islam yang hendaklah diperkasakan dengan penglibatan pelbagai kaum dan bangsa untuk mengubah persepsi negatif dan fobia terhadap Islam," katanya.

Menurut Abdul Hadi PAS terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti atau pertubuhan bukan kerajaan yang bukan Islam.

Yang terbaru, kata beliau, ialah dengan MIC yang menunjukkan hasil yang sangat positif.


N Faizal Ghazali, Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang untuk laporan ini.

Lihat Komen
ADS