Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan benarkan Shafee dapatkan pasport ke Australia

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport bagi membolehkannya mengendalikan kes jenayah

di Australia.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim, Ahmadi Asmawi, Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hakim mengarahkan supaya pasport Muhammad Shafee yang juga peguam kepada Najib Razak diberikan hari ini bagi tujuan berkenaan.

Muhammad Shafee akan ke Australia bermula 24 Jun dan akan kembali semula ke tanah air pada 1 Julai dan dikehendaki menyerahkan kembali pasportnya kepada Mahkamah Tinggi pada 3 Julai.

Hakim juga berpendapat, berdasarkan rekod perjalanan Muhammad Shafee ke luar negara sebelum ini, beliau dilihat tidak berpotensi untuk melarikan diri.

Menurut hakim, Muhammad Shafee sudah empat kali berulang-alik ke luar negara selepas didakwa di mahkamah dan jika berniat untuk melarikan diri sudah pasti beliau telah lama berbuat demikian.

Muhammad Shafee berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Dalam prosiding tersebut, Muhammad Shafee diwakili peguam bela Harvinderjit Singh manakala pihak pendakwaan di wakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzaini Zam Abdul Aziz.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menolak permohonan peguam, Muhammad Shafee Abdullah untuk memperoleh pasportnya bagi mengendalikan kes jenayah di Australia.

Ketika membuat keputusan tersebut Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, surat bertarikh 13 Mei yang meminta Muhammad Shafee selaku pemohon hadir ke Pusat Tahanan di Long Bay itu hanya surat sokongan sahaja.

Tambahnya, kehadiran pemohon di pusat tahanan tersebut hanya bertujuan untuk menterjemah bahasa Melayu dan untuk tujuan tersebut tertuduh boleh menghantar seseorang (wakil) dari firma guamannya.

Pihak pendakwaan yang diketuai Afzaini Zam sebelum ini membantah permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan pasportnya ke Australia dengan alasan surat dikemukakan tidak relevan.

Selain itu Afzaini Zam memberitahu mahkamah bahawa wakil Muhammad Shafee di Australia juga fasih berbahasa Inggeris.

Sementara itu, Bernama melaporkan Shafee, yang menghadapi empat bertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta, berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkannya mengendalikan kes jenayah di Australia.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Ahmadi Asnawi, Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Muhammad Shafee bagi mendapatkan sementara pasportnya untuk beliau ke Sydney, Australia dari 24 Jun hingga 1 Julai ini.

"Kami berpandangan bahawa terdapat keperluan sebenar bagi pemohon (Muhammad Shafee) untuk berada bersama-sama peguam dan anak guamnya di sana," kata Hakim Ahmadi, yang mempengerusikan panel berkenaan.

Beliau berkata tiada keterangan yang menunjukkan bahawa Muhammad Shafee akan melarikan diri, dan menambah, pendakwaan tidak mengemukakan sebarang keterangan bahawa beliau mungkin melarikan diri.

"Kami sedar bahawa orang kena tuduh dalam kes di Australia mempunyai hak untuk diwakili peguam pilihannya sendiri," kata Hakim Ahmadi.

Peguamnya, Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah Muhammad Shafee akan mengembalikan pasportnya kepada mahkamah sebelum 3 Julai selain melaporkan kepulangannya dari Australia.

Muhammad Shafee berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau turut didakwa mengikut Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri atas dua pertuduhan mengemukakan suatu penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan tidak memasukkan jumlah RM9.5 juta ketika mengemukakan laporan cukai bagi tahun berkenaan.

Pada 14 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan sementara pasportnya yang dipegang mahkamah, untuk mengendalikan kes anak guamnya, seorang rakyat Malaysia yang didakwa mengedar dadah, di sebuah mahkamah di Australia.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menegaskan kehadiran Muhammad Shafee di Australia, seperti yang dipohon menerusi sepucuk surat bertarikh 13 Mei 2019, sekadar untuk membantu kes itu kerana menurut rekod, tertuduh telah ada peguam Australia.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini di Mahkamah Rayuan, Harvinderjit Singh berhujah Muhammad Shafee tidak akan melarikan diri dan beliau telah empat kali melakukan perjalanan ke luar negara selepas didakwa di mahkamah dan kembali semula ke Malaysia selepas itu.

"Beliau mempunyai tiga isteri, keluarganya semua ada di sini. Tiada sebab untuk beliau tidak kembali semula (ke tanah air)," katanya, dan menambah, anak guam Muhammad Shafee di Australia memerlukan nasihat guaman tentang sama ada berdepan pertuduhan atau mengadakan rundingan bagi pengakuan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dalam hujahnya pula berkata Muhammad Shafee tidak mempunyai sebab untuk berada di Australia kerana anak guamnya sudah melantik seorang peguam tempatan.

Lihat Komen
ADS